KKM disaran ambil alih rawatan ketagihan dadah sintetik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perlakuan kejam termasuk membunuh yang berpunca daripada kesan halusinasi dan delusi akibat pengambilan dadah bukan lagi perkara luar biasa di negara ini.

Saban masa ada sahaja kes-kes sedemikian dilaporkan dengan yang terbaharu pada bulan lepas apabila seorang wanita maut dipenggal hingga terpisah kepala daripada badan oleh anak tirinya, dalam kejadian di Gua Musang, Kelantan.

Kejadian itu hampir sama dengan kes di Kuala Selangor, Selangor pada 15 Jan lalu, apabila seorang penganggur juga bertindak memenggal kepala ibunya, dipercayai kerana tidak diberikan wang untuk membeli dadah.

Kedua-dua kes melibatkan suspek penagih dadah sintetik amphetamine dan methamphetamine serta pil kuda.

Selain itu, banyak lagi kes tular berkaitan perlakuan ganas penagih dadah sintentik yang kebanyakan mangsanya adalah ahli keluarga terdekat, sekali gus menimbulkan keresahan akan betapa seriusnya masalah penagihan dadah dalam masyarakat dewasa ini. Pakar berpandangan sudah tiba masanya Kementerian Kesihatan (KKM) memainkan peranan sebagai game changer atau pengubah keadaan dalam isu itu.

‘WAKE-UP CALL’

Menyifatkan dua kes ngeri tersebut sebagai "wake-up call”, pakar rawatan ketagihan dadah Profesor Madya Dr Rusdi Abd Rashid berkata, KKM mempunyai kepakaran dalam merawat ketagihan dadah sintetik atau dadah perangsang kerana kesan bahan itu lebih pada aspek psikologi penagih.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tidak mempunyai keupayaan dalam bidang itu, selain belum ada rawatan khusus untuk merawat ketagihan dadah sintetik, jelasnya ketika dihubungi Bernama.

Artikel Berkaitan:

Dr Rusdi yang juga Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), turut berkeyakinan sekiranya rawatan ketagihan diambil alih oleh KKM, lebih ramai penagih akan tampil untuk mendapatkan rawatan.

"Sekarang ini rata-rata penagih takut untuk datang ke AADK, sebab kalau dilakukan ujian kencing dan didapati positif, mereka akan ditempatkan di pusat rehabilitasi selama dua tahun,” katanya, menambah keupayaan KKM dalam merawat ketagihan dadah dapat dilihat menerusi Program Rawatan Terapi Gantian (RTG) Dadah untuk penagih dadah jenis opiat.

Menurutnya, ketika ini terdapat 400 klinik KKM yang menawarkan RTG Dadah menggunakan metadon di seluruh negara dengan setiap klinik mampu merawat 50 hingga 300 penagih.

Selain itu, program sama turut ditawarkan oleh kira-kira 400 klinik swasta yang setiap satu berkemampuan merawat 20 hingga 200 penagih pada satu-satu tempoh, katanya.

"Ada klinik metadon di bawah KKM yang telah dinaik taraf kepada pusat sehenti untuk ketagihan (OSCA), jadi kalau nak kata ‘ready’, memang sudah 'ready’ sepatutnya,” ujar beliau.

TINGKATKAN KEMAHIRAN

Mengulas mengenai perlakuan ganas penagih akibat kesan psikosis, Dr Rusdi yang juga pakar psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya, berkata gejala psikosis berbeza-beza, namun dua gejala umum adalah halusinasi dan delusi.

Apabila psikosis berlaku, minda kehilangan hubungan dengan kenyataan dan psikosis yang melampau boleh mengaktifkan perlakuan ganas dan tidak terkawal sehingga mampu mencederakan malah membunuh orang sekeliling, jelasnya.

Bagi merawat psikosis, mereka perlu diberikan ubat antipsikotik selain pemantauan yang lebih tersusun untuk mengawal penagih daripada menjadi psikotik dan berbahaya kepada orang lain, kata Dr Rusdi, menambah AADK perlu meningkatkan kemahiran pegawainya jika mahu menangani masalah pengguna dadah perangsang dengan lebih baik.

"AADK perlu mempunyai pakar psikiatri terlatih yang ditugaskan menilai keadaan klien setiap masa termasuk (rawatan) susulan pesakit luar apabila di luar institusi.

"Tetapi AADK tiada kepakaran dan terpaksa merujuk kepada hospital yang mempunyai kepakaran tersebut,” katanya.

Selain itu, Dr Rusdi turut menyarankan agar AADK meningkatkan jalinan kerjasama, bukan sahaja dengan KKM tetapi juga institusi kesihatan swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

Berdasarkan data Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat 31 Ogos lepas, terdapat 47,863 klien sedang menerima rawatan di AADK dengan kebanyakannya adalah kes dadah perangsang.

"AADK pada ketika ini kebanyakannya menjaga penagih dadah jenis perangsang. Untuk pengguna dadah jenis opiat seperti heroin, ramai yang beralih mendapatkan rawatan di klinik metadon kendalian KKM.

"Ini kerana rawatan di klinik (RTG) metadon membolehkan mereka bekerja dan menyara keluarga sepanjang proses rawatan berlangsung. Kalau ke pusat kendalian AADK atau Pengasih, mereka perlu masuk ke dalam pusat pemulihan,” jelasnya.

Menurut Dr Rusdi, kaedah sama harus digunakan untuk merawat penagih dadah perangsang - bukan diletakkan di pusat pemulihan - selain disertakan dengan rawatan psikologi bagi membolehkan mereka kembali ke pangkuan masyarakat.

KERJASAMA DENGAN HOSPITAL

AADK dalam laman sesawangnya, antara lain menyatakan penagih dadah akan disyorkan menjalani rawatan pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), sama ada secara sukarela atau melalui perintah mahkamah menurut Seksyen 6(1)(a) Akta Penagih Dadah 1983.

Sementara itu, Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon menafikan pihaknya tidak berkemampuan mengendalikan pesakit ketagihan dadah sintetik walaupun mereka tidak mempunyai pakar psikiatri di Puspen.

Katanya, buat masa ini kekangan itu diatasi melalui kerjasama dengan hospital yang memberikan khidmat psikiatri bagi menempatkan klien yang mempunyai masalah mental akibat penagihan dadah.

Kerjasama itu antaranya melibatkan Puspen Kota Tinggi dengan Hospital Permai, Johor Bahru; Puspen Papar dengan Hospital Kota Kinabalu, Sabah dan Puspen Kuching dengan Hospital Sentosa, Kuching.

"Masalah penagihan dadah perangsang sentiasa dikaitkan dengan masalah psikosis dan kesihatan mental. Tidak dinafikan peranan psikiatri penting untuk memastikan setiap penagih yang mempunyai simptom psikosis mendapat rawatan sewajarnya.

"Namun, AADK masih berperanan dalam memberikan rawatan dan pemulihan dari sudut psikologi, emosi, dan kefungsian semua, terutama kemahiran daya tindak berhadapan dengan ‘relapse’ (kembali kepada penagihan),” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Jelas beliau, ketika ini AADK mempunyai penolong pegawai perubatan bagi melaksanakan penilaian kesihatan mental dan seterusnya membuat rujukan kepada hospital yang dipilih untuk kerjasama tersebut.

Sepanjang 2021, seramai 17,987 penagih dadah dikesan AADK, dan daripada jumlah itu, seramai 5,614 (31 peratus) adalah penagih berulang.

Bagi tempoh sama juga AADK merekodkan 46,246 klien merangkumi 30,460 klien baharu dan 15,774 klien berulang.

UNDANG-UNDANG BAHARU

Sutekno yang dilantik menerajui AADK pada 11 Jan 2021, turut memaklumkan pihak berkuasa sedang menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Penyalahgunaan Dadah dan Substan (Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan) bagi menggantikan Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Undang-undang baharu itu bertujuan memperkasa dan memperluas akses khidmat rawatan pemulihan dadah dan substan selain menangani penyalahgunaan kedua-dua bahan tersebut.

"RUU ini juga akan memberi punca kuasa kepada AADK untuk memberikan khidmat rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah dan substan daripada menjalani hukuman penjara.

"Penagih akan dinilai dengan sewajarnya sebelum mahkamah mengeluarkan perintah bagi menjalani proses rawatan dan pemulihan, sama ada di dalam institusi atau komuniti,” katanya, menjelaskan langkah tersebut bertujuan mengubah stigma masyarakat yang menganggap penagih sebagai bekas banduan, yang pada akhirnya akan mempermudah integrasi mereka ke dalam masyarakat. - Bernama