Pantau pergerakan anak semasa banjir

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Azhar Elmi Mustofar menasihatkan sekumpulan kanak-kanak agar tidak bermain air di kawasan perumahan di Kampung Jelor. - Foto Bernama
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Azhar Elmi Mustofar menasihatkan sekumpulan kanak-kanak agar tidak bermain air di kawasan perumahan di Kampung Jelor. - Foto Bernama
A
A
A

SABAN tahun, masyarakat terutama di negeri pantai timur pasti berdepan situasi banjir. Bencana alam itu sudah semestinya menjadi topik perbincangan utama orang ramai kerana ia memberi impak besar terhadap kehidupan seharian.

Malah, setiap kali tiba musim banjir, kita pasti disajikan dengan berita tragedi melibatkan kehilangan nyawa disebabkan lemas, terkena renjatan elektrik atau meninggal dunia akibat leptospirosis (jangkitan air kencing tikus).

Bagaimanapun, jika diteliti punca kejadian, kebanyakannya disebabkan kurang tahap kesedaran, selain sikap individu itu sendiri yang memandang enteng aspek keselamatan.

Situasi bertambah buruk apabila terdapat segelintir ibu bapa membiarkan sahaja anak-anak bermain air banjir tanpa menjadikan insiden-insiden sebelum ini sebagai panduan dan pengajaran.

Malah, ada juga ibu bapa berpendapat bahawa tindakan melarang anak bermain air banjir umpama mengongkong kebebasan mereka.

Lebih mengecewakan apabila wujud kelompok orang dewasa yang merakam gelagat kanak-kanak bermain air banjir untuk dijadikan sebagai kandungan di media sosial.

Aktiviti itu sangat berisiko kerana aspek keselamatan diabaikan dan ia juga bukanlah contoh ikutan terbaik bagi golongan kanak-kanak.

Sepatutnya ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memantau pergerakan anak setiap masa ketika banjir bagi mengelak kejadian tidak diingini. Sikap tegas bukanlah bermaksud ‘mencabuli’ hak kebebasan mereka tetapi bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Artikel Berkaitan:

Pengajarannya amat mudah. Meskipun air di depan mata kelihatan tenang, jangan disangka ia tidak berbahaya.

Jadikanlah laporan-laporan berkaitan tragedi banjir di media cetak dan elektronik sebagai mekanisme bagi mengelak insiden meragut nyawa daripada berulang.

Pendek kata, jangan sesekali mempertaruhkannya nyawa kerana kita tidak tahu apa yang bakal menanti di hadapan, mungkin kematian dan mungkin juga jangkitan Covid-19 disebabkan pengabaian prosedur operasi standard (SOP).

Kesimpulannya, banjir bukanlah pesta air. Jadi sentiasalah beringat dan berhati-hati.