Dua kementerian teliti negara luar berpotensi untuk skim VTL

Hishammuddin - Foto Bernama
Hishammuddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Luar dan Kementerian Pengangkutan sedang meneliti negara luar yang berpotensi untuk dimasukkan dalam senarai skim Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dari masa ke masa.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, setakat ini skim VTL dimanfaatkan antara Malaysia-Singapura, selain Thailand dan Brunei yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat seperti diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"MOFA (Kementerian Luar) telah ditugaskan meneliti senarai negara lain untuk VTL. Mereka ini adalah negara yang kami lihat (untuk skim VTL), bagaimanapun saya bukan dalam kedudukan untuk mengumumkannya,” katanya pada sidang media secara maya selepas Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 hari ini.

Pada 26 Februari, Ismail Sabri berkata, kerajaan bercadang mengadakan VTL dengan Thailand sebagai langkah terbaharu memulihkan industri pelancongan negara.

Ismail Sabri turut memaklumkan Indonesia dan Brunei secara dasar juga telah bersetuju dengan cadangan pelaksanaan VTL itu.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, kewujudan gelombang Omicron tidak akan menyebabkan kerajaan melaksanakan semula sekatan pergerakan secara besar-besaran memandangkan ramai rakyat Malaysia sudah lengkap menerima vaksin Covid-19.

Ditanya mengenai peratusan kes melibatkan varian Omicron di negara, beliau yang mempengerusikan mesyuarat itu hari ini berkata berdasarkan laporan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, majoriti kes aktif adalah Omicron.

"Ini adalah urusan KKM (Kementerian Kesihatan). Daripada taklimat KJ (Khairy) sebentar tadi, majoriti kes adadalh daripada varian Omicron tetapi ia memerlukan masa dua minggu untuk kajian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai syor semakan semula beberapa prosedur operasi standard (SOP) oleh Khairy, Hishammuddin berkata, perkara itu akan diambil kira apabila kerajaan mengumumkan tarikh peralihan ke fasa endemik nanti.

Terdahulu, Khairy menurusi Twitter rasminya memaklumkan SOP bagi solat jemaah di masjid dan surau serta waktu operasi premis makanan perlu disemak semula, mengambil kira penilaian risiko Covid-19 yang terkawal.

Bagaimanapun, Khairy berkata, syor semakan semula SOP itu masih tertakluk kepada persetujuan dan pelaksanaan oleh bidang kuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan masing-masing.

Mengenai perkembangan fasa peralihan ke endemik, Hishammuddin berkata, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan kepada mesyuarat kuartet bahawa kementerian itu sedang melakukan persiapan rapi bagi memastikan perancangan berkaitan Duta-Duta Pemerkasaan Komuniti dapat dijayakan.

"Ini penting untuk mendidik masyarakat seterusnya memastikan rakyat biasa dengan amalan, langkah-langkah keselamatan, setiap SOP serta garis panduan di fasa berkenaan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, keutamaan kerajaan terutamanya kuartet adalah pembukaan semula secara selamat selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam supaya peralihan negara menuju fasa endemik dibuat secara berhati-hati.

"Ini bermakna, di fasa ‘peralihan ke endemik’ kelak, rakyat akan lebih bebas namun langkah keselamatan, SOP serta garis panduan masih perlu dipatuhi dengan penuh disiplin, termasuk pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan penjagaan kebersihan diri," katanya. - Bernama