549 kes penipuan di Selangor babitkan kerugian RM33.7 juta

Arjunaidi Mohamed
Arjunaidi Mohamed
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 549 kes berkaitan penipuan dengan kerugian sebanyak RM33.7 juta direkodkan di Selangor sejak Januari hingga Februari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor membuka sebanyak 405 kertas siasatan kes jenayah penipuan dalam talian dan jenayah siber manakala 144 kes adalah bagi jenayah bukan dalam talian.

"Kes-kes jenayah dalam talian dan jenayah siber ini menyumbang sebanyak 73.8 peratus dari jumlah keseluruhan kertas siasatan jenayah komersial yang dibuka," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Arjunaidi berkata, terdapat kes di mana mangsa dan syarikat perniagaan mengalami kerugian ratusan malahan jutaan ribu ringgit akibat ditipu oleh 'scammer' secara dalam talian, e-mail atau butiran internet perbankan atas talian mereka telah digodam oleh penjenayah siber.

"Seorang pegawai akaun sebuah syarikat tempatan telah membuat laporan polis mendakwa syarikat majikannya telah mengalami kerugian sebanyak RM 2.9 juta pada 22 Februari lalu.

"Kejadian berlaku apabila e-mail syarikat bagi urusan perbankan internet telah digodam. E-mail tersebut dihantar ke pihak bank dan mengarahkan untuk membuat penukaran butiran maklumat (ID) perbankan syarikat majikan pengadu," katanya.

Menurutnya, e-mail tersebut disertakan dengan borang di mana tandatangan majikan pengadu dipalsukan.

"Pihak bank telah meluluskan penukaran ID tersebut tanpa membuat pengesahan dengan syarikat menyebabkan sebanyak RM 2.9 juta wang telah dikeluarkan dari akaun bank syarikat itu melalui 69 transaksi ke dalam 18 akaun berbeza disyaki keldai akaun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Arjunaidi berkata, terdapat satu kes berasingan yang membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun diperdaya penjenayah siber pada 5 Disember hingga 24 Januari lalu.

"Mangsa terpedaya dengan laman sosial berkenaan penipuan wasiat harta pusaka tidak wujud.

"Mangsa telah melakukan pindahan wang dari akaunnya melalui 50 transaksi berjumlah RM 6.3 juta ke dua akaun atas nama syarikat tempatan yang disyaki keldai akaun," katanya.

Arjunaidi berkata, kajian mendapati, selain dari tahap kesedaran dan sikap mangsa sendiri, peningkatan kes juga berpunca dari mudahnya 'scammer' membuka akaun individu untuk dijadikan keldai akaun.

"la termasuk dengan mudah mendaftarkan nama individu yang menjadi keldai di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kemudian membuka akaun bank atas nama syarikat perniagaan keldai tersebut.

"Keldai akaun ini kemudiannya digunakan untuk memindahkan puluhan, ratusan malahan jutaan ribu ringgit dari akaun mangsa," katanya.

Beliau berkata, terdapat juga penjenayah siber yang berjaya mengodam e-mail dan sistem perbankan internet mangsa.

"Pengeluaran wang dari akaun mangsa dibuat tanpa pengetahuan mangsa," katanya.

Arjunaidi berkata, pihaknya memohon kerjasama pihak bank supaya mempertingkatkan sistem keselamatan perbankan internet yang ditawarkan kepada orang ramai agar ia tidak dapat digodam oleh penjenayah siber.

"Jika terdapat permohonan penukaran ID pengguna melalui e-mail atau lain-lain perubahan dalam urusan perbankan internet yang mencurigakan, pihak bank hendaklah menyemak semula dengan pemilik akaun individu atau syarikat untuk pengesahan.

"Pihak bank juga perlu mewujudkan satu sistem semak dan imbang yang lebih ketat bagi semua urusan perbankan internet atau e-banking bagi mengelak keldai akaun digunakan secara berleluasa oleh penjenayah memindahkan wang hasil perbuatan jenayah," katanya.

Arjunaidi turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak terperdaya sehingga menjadi mangsa jenayah penipuan dalam talian.

"Orang ramai juga diingatkan supaya tidak membenarkan akaun bank digunakan sebagai keldai akaun kerana ianya adalah satu kesalahan disisi undang- undang," ujarnya.

Arjunaidi memaklumkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil telah menyediakan aplikasi atas talian bagi orang awam untuk membuat semakan jika terdapat sebarang keraguan berkaitan jenayah komersil melalui ccid.rmp gov.my/semakmule dan CCID Scam Response Centre, 03-26101559/03-26101599 atau melaporkan kejadian di balai polis berdekatan.