[VIDEO] CPI 2021 jatuh bukan hanya disebabkan kes rasuah: PM

Ismail Sabri pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada Selasa. - Foto Bernama
Ismail Sabri pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penurunan kedudukan Malaysia dalam penilaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 bukan hanya disebabkan oleh kes-kes rasuah semata-mata, sebaliknya turut disumbangkan perkara-perkara lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara perkara lain yang menyumbang kepada kemerosotan itu adalah seperti hak asasi manusia kerana kemungkinan pandangan daripada badan-badan antarabangsa berbeza dengan nilai yang ada di Malaysia.

“Mereka (badan antarabangsa yang menilai) melihat hak asasi berdasarkan nilai mereka dan yang kedua dari segi keperluan pembaharuan institusi dan juga akta-akta yang perlu dipinda.

“Sebagai contoh akta atau Rang Undang-undang sumbangan dana politik misalnya dan ini juga salah satu daripada tuntutan daripada badan antarabangsa supaya kita kita laksanakan di negara kita.

“Selain itu, dari segi akta rahsia rasmi dan akta kesalahan pilihan raya dan sebagainya. Semua, jadi dari segi keseluruhan yang seperti saya sbeut ada sembilan perkara yang dijadikan sebagai alasan untuk memberikan kita dari segi kedudukan, skor dan sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang mahu supaya kerajaan bersungguh-sungguh menangani kes rasuah kerana ia menjadi faktor kepada kejatuhan kedudukan Malaysia dalam CPI.

Kedudukan Malaysia dalam penilaian CPI 2021 keluaran Transparency International baru-baru ini berada di tangga 62 daripada keseluruhan 180 buah negara.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan yang dipimpinnya komited dalam usaha untuk menangani rasuah di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia dapat dilihat apabila Malaysia turut mengambil bahagian dalam penilaian tersebut.

“Kesediaan Malaysia untuk dinilai CPI 2021 menunjukkan ketelusan dan komitmen Malaysia dalam penambahbaikan tadbir urus,” katanya.