Pelajar tahfiz korban ketiga banjir di Kelantan

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang serta PPDA Bomba yang menjalankan operasi SAR membawa jenazah pelajar tahfiz yang merupakan mangsa ketiga banjir di Kelantan pada Isnin. - Foto Ihsan pembaca
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang serta PPDA Bomba yang menjalankan operasi SAR membawa jenazah pelajar tahfiz yang merupakan mangsa ketiga banjir di Kelantan pada Isnin. - Foto Ihsan pembaca
A
A
A

PASIR MAS - Seorang pelajar tahfiz berusia 15 tahun menjadi korban ketiga banjir di negeri ini apabila ditemukan lemas di Kampung Kedapan, Banggol Kulim, Rantau Panjang di sini pada Isnin.

Bagaimanapun Hawari Kaday, 15, dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras sekitar jam 8.30 malam pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, mayat Hawari ditemukan lemas oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang serta Unit Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Mayat mangsa ditemui pada jam 3.30 petang. Selepas ditemui mayat mangsa terus dibawa ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut yang dilakukan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas tubuh badan mendapati tiada sebarang kecederaan yang dialami dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sinar Harian melaporkan seorang warga emas dan remaja menjadi korban banjir di negeri ini.

Mangsa korban pertama banjir dikenali sebagai Mohamad Ishak, 70, yang terjatuh ke dalam Sungai Galas di Pengkalan Lan, Kampung Kuala Gris, Kuala Krai pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Selepas itu, seorang remaja menjadi mangsa kedua banjir di negeri ini apabila ditemukan lemas selepas tergelincir dan dihanyutkan arus ketika menunggang basikal di tepi tali air di Kampung Talang Kadok, Kota Bharu pada Ahad.