Ukail bangga menjadi pelajar tahfiz

Ukail antara Muzawwir yang dipilih TH.
Ukail antara Muzawwir yang dipilih TH.
A
A
A

MADINAH - Bagi yang pernah mengikuti program ziarah luar jemaah haji Malaysia di Madinah, kelibat anak-anak muda yang berpengetahuan dalam memberikan penerangan mengenai lokasi-lokasi bersejarah, sirah Nabi Muhammad SAW dan sebagainya pasti akan dapat dilihat sepanjang program berlangsung.

Mereka ialah Muzawwir iaitu pasukan yang dibentuk untuk membantu Lembaga Tabung Haji (TH) dalam melaksanakan aktiviti ziarah ke Masjid Quba’, makam syuhada Uhud, Masjid Qiblatain dan lain-lain.

Mereka terdiri daripada rakyat Malaysia yang sedang menyambung pengajian di Universiti Islam Madinah dan bagi sesi kali ini dianggarkan khidmat 60 Muzawwir digunakan.

Ukail (kanan) memberikan penerangan kepada jemaah haji Malaysia di Masjid Quba'.
Ukail (kanan) memberikan penerangan kepada jemaah haji Malaysia di Masjid Quba'.

Rata-rata Muzawwir yang dipilih TH mempunyai latar belakang yang mantap dari segi ilmu pengetahuan kerana mereka perlu bersedia dengan pelbagai soalan daripada jemaah.

Salah seorangnya ialah Ukail Ahmad Sanif, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi cawangan Madinah (Persada).

Pemuda berusia 26 tahun dari Klang, Selangor yang belum berkahwin itu kini sedang menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Madinah dalam jurusan Syariah (Fiqh Hanbali).

Pengajian yang sedang diikuti di semester lima ini ialah ijazah kedua setelah berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Syariah (Fiqh Syafie) di Universiti Al- Azhar, Mesir.

Pengajian itu berjaya dihabiskan selama empat tahun dengan keputusan Jayyid Jiddan martabat Syaraf (ijazah kelas pertama) dan meraih pelajar terbaik antarabangsa ke-11 pada tahun graduasi (2018-2022).

Tekad Ukail ialah untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) kerana cita-cita beliau ingin menjadi cendekiawan agama profesional bertaraf antarabangsa yang mampu menjadi rujukan dunia dan boleh bertutur banyak bahasa.

Menyoroti kembali perjalanan pendidikan Ukail, beliau mula memasuki tahfiz pada 2004 di Sekolah Rendah Hafiz Klang, kemudian beberapa maahd tahfiz hinggalah memasuki Sekolah Menengah Islam Al-Farabi, Klang pada tahun kelima untuk mengambil mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Pelajar lain belajar untuk SPM selama lima tahun. Saya mengambilnya dalam masa satu tahun. Susah tapi saya ambil cabarannya.

“Belajar mula 8 pagi, lepas tu tuisyen hingga 10 malam hampir setiap hari dan akhirnya saya menjadi pelajar SPM terbaik di sekolah tersebut dengan keputusan 8A 2B. Dapat juga menjadi antara pelajar cemerlang di Zon Selat Klang,” katanya ketika ditemui di sini.

Ukail bersama ibu tercinta, Umi Kalsom Humar.
Ukail bersama ibu tercinta, Umi Kalsom Humar.

Kata Ukail, banyak kelebihan belajar di sekolah tahfiz kerana menghafal al-Quran menguatkan minda dan membuatkan pelajar itu cepat memahami ajaran guru dan serta menjadi bijak.

“Bahkan saya merasakan pelajar Tahfiz apabila belajar akademik akan lebih cemerlang dan berpotensi melebihi daripada pelajar yang tidak menghafal al-Quran.

“Apabila kita berjaya menghafal kalam-kalam ALLAH SWT, segala perkara yang lain semuanya menjadi mudah.

Kata Ukail, antara niat beliau menghafal al-Quran adalah semoga dapat memberi syafaat kepada keluarga beliau di akhirat kelak selari dengan wasiat neneknya untuk ada seorang cucu yang menjadi hafiz.

“Saya merupakan penghafal al-Quran tunggal di dalam keluarga yang berjaya habiskan hafalan 30 juzuk,” katanya.

Berdasarkan pengalamannya itu, beliau amat bangga menjadi pelajar tahfiz dan mana-mana pelajar yang sedang menuntut usahlah menyesal kerana apabila apabila hidup ditumpukan kepada al-Quran dan ilmu agama, Insya-ALLAH dunia mencari kita.

Oleh itu antara usaha Ukail dalam persatuan pelajar adalah untuk membetulkan minda masyarakat terhadap pelajar tahfiz.

“Orang membayangkan pelajar Tahfiz itu hanya terhad menjadi imam masjid dan guru sahaja sedangkan lepasan Tahfiz mempunyai potensi yang lebih besar.

“Bahkan saya mempunyai sahabat-sahabat di Mesir dan United Kingdom mempunyai latar belakang Tahfiz tetapi mengambil bidang profesional,” katanya.

INFO

1) Sekolah Rendah Hafiz, Klang (2004-2009)

2) Maahad Tahfiz Al-Barakah (2010-2012)

3) Maahad Tahfiz Hira Jeram, Kuala Selangor (2013-2014)

4) Pusat Bahasa Lisan As-Salam, Cairo, Mesir (2015)

5) Sekolah Menengah Islam Al-Farabi Klang SPM (2016)

6) Maahad Imtiyaz, Ipoh Perak STAM (2017)

7) Universiti Al-Azhar Cairo Mesir (2018-2022)

8) Universiti Islam Madinah, Arab Saudi (2021- sehingga sekarang)