Kerajaan Johor sedia tempuh fasa endemik

Hasni (kiri) pada sidang akhbar Majlis Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Johor 2022 di Senai pada Isnin
Hasni (kiri) pada sidang akhbar Majlis Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Johor 2022 di Senai pada Isnin
A
A
A

SENAI - Persediaan untuk menuju fasa endemik Covid-19 sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri Johor bagi membolehkan isu dan permasalahan berkaitan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura dapat diselesaikan secepat mungkin.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, perbincangan bersama kerajaan Persekutuan juga sentiasa dibuat atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap pekerja dan warga Malaysia yang masih berada di negara berkenaan.

Beliau berkata, antara yang dibincangkan termasuk tuntutan untuk menambah jumlah kuota pengembara antara kedua-dua negara menerusi inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat yang telah dikurangkan 50 peratus kerana kebimbangan terhadap varian Omicron.

"Saya menerima indikator daripada kerajaan Persekutuan yang jumlah (penambahan kuota VTL) sentiasa dibincangkan dari masa ke masa. Saya juga sentiasa menegaskan yang kita perlu cepat beralih ke fasa endemik apabila melihat daripada jumlah penerima vaksin dan dos penggalak yang semakin meningkat.

"Jika ia dilaksanakan (endemik), kita akan menyaksikan pertambahan besar bagi jumlah kemasukan pengunjung bagi kedua-dua negara," katanya pada pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Kepimpinan Pusat Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Johor 2022 di Senai pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Inisiatif VTL darat dan udara Malaysia-Singapura mula dilaksanakan pada 29 November lalu dengan kuota 1,440 individu pada minggu pertama.

Bagaimanapun, kuota penggunaan VTL darat kemudiannya dikurangkan sehingga 50 peratus pada Januari lalu kerana varian Omicron menjadi kebimbangan utama pada ketika itu.

Sejak hujung Januari lalu, isu berkaitan VTL dan pekerja Malaysia di Singapura dilihat sentiasa menjadi hujahan dimainkan parti-parti politik sebagai bahan kempen menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hasni berkata, usaha menuju fasa endemik itu juga dilihat bagi membolehkan kerajaan negeri merancang inisiatif terbaik sekali gus mengembalikan kerancakan sektor ekonomi yang melibatkan urusan bersama negara jiran berkenaan.

"Pada asasnya, ia adalah untuk mengembalikan keyakinan kepada industri dan pelabur untuk terus diperluaskan operasi mereka dan segera menggerakkan aktiviti ekonomi yang berada di Johor," katanya.