Sabudin kekal bebas

Sabudin
Sabudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh melakukan sujud syukur selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin mengekalkan keputusan membebaskannya daripada pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM150,000, empat tahun lalu.

Ia sejurus prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid, yang menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan terdahulu.

"Tiada sebab untuk mahkamah campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan Sabudin daripada pertuduhan pada 8 April tahun lalu," katanya.

Ketika ditemui selepas prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pasukan pendakwaan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

Pada 8 April 2021, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Sabudin daripada pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM150,000 tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Suzana Hussin melepaskan Sabudin, 60, selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Pada 13 April tahun lalu, pendakwaan selaku perayu memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, yang melepas dan membebaskan Sabudin selaku responden daripada pertuduhan rasuah di akhir kes pendakwaan.

Sabudin yang merupakan bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa atas pertuduhan secara rasuah menerima bagi dirinya barangan berharga berupa wang tunai RM150,000 daripada pengarah Syarikat Tegap Elit Sdn Bhd, Chia Chee Seng.

Artikel Berkaitan:

Dalam prosiding ini, Sabudin diwakili peguam K Theivaedran.