Bekas Timbalan Pengarah Kanan DBKL bebas tuduhan rasuah

Sabudin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen hari ini daripada pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM150,000 tanpa dipanggil membela diri.
Sabudin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen hari ini daripada pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM150,000 tanpa dipanggil membela diri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabudin Mohd Salleh dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis daripada pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM150,000 tanpa dipanggil membela diri.

Hakim Suzana Hussin melepaskan Sabudin, 59, selepas berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

"Selepas mendengar keterangan semua saksi pendakwaan serta meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu," katanya.

Seramai 10 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan tersebut.

Sabudin yang merupakan bekas Timbalan Pengarah Kanan (Awam) di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa atas pertuduhan secara rasuah menerima bagi dirinya barangan berharga berupa wang tunai RM150,000 daripada pengarah Syarikat Tegap Elit Sdn Bhd, Chia Chee Seng.

Ia sebagai dorongan untuk tertuduh melakukan suatu perbuatan di bawah hal ehwal prinsipalnya, iaitu memperakukan sijil bayaran kemajuan tuntutan yang dikemukakan oleh beberapa syarikat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana di sini antara 13 dan 19 Ogos 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili K.Theivaendran. - Bernama

Artikel Berkaitan: