Juruteknik elektrik tidak mengaku cederakan bapa

MELAKA - Seorang juruteknik elektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Jumaat atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan bapa kandungnya, Ahad lalu.
Tertuduh, Mohd Defry Anrizal Khairil Anuar, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 69 tahun di sebuah rumah di Bukit Rambai, Melaka Tengah, kira-kira jam 10 pagi pada 15 November lalu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua kali ganda tempoh maksimum bagi kesalahan berkenaan.
Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca daripada isu kewangan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri mencadangkan jaminan RM8,000 dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Goh Jee Chee merayu supaya tertuduh diberikan jumlah jaminan lebih rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dimohon dan menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

