Tuntutan pengesahan hibah manfaat takaful RM1 juta, ditentukan Mahkamah Tinggi Sivil

PUTRAJAYA – Pertikaian membabitkan tuntutan pengesahan hibah manfaat takaful bernilai lebih RM1 juta antara balu dengan keluarga mentuanya, akan ditentukan Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur.
Ini selepas Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya pada Jumaat membenarkan bantahan awal yang difailkan balu kepada pencarum takaful itu, Sazila Sabri terhadap permohonan tuntutan pengesahan hibah oleh ibu dan abang kandung arwah suaminya.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan saman pengesahan hibah yang difailkan ibu arwah, Saminah Mahroji dan abang, Sukarman Hamid selaku responden-respondan, dibatalkan.
Hakim Syarie, Mamat Haizan Salleh kemudiannya memerintahkan responden membayar kos prosiding sebanyak RM10,000 kepada Sazila selaku pemohon.
Permohonan bantahan awal itu difailkan susulan tindakan ibu dan abang kepada Allahyarham Mohd Aswan Hamid yang mempertikaikan penerimaan manfaat hibah takaful oleh Sazila.
Berdasarkan hujahan pemohon, Allahyarham semasa hayatnya mencarum produk takaful dengan menamakan isterinya sebagai penerima manfaat menerusi hibah bersyarat berjumlah RM1,006,216.49.
Tidak berpuas hati terhadap penerimaan manfaat berkenaan, Saminah dan Sukarman memfailkan tuntutan pengesahan hibah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 21 Ogos 2025.
Semasa prosiding, peguam syarie yang mewakili Sazila, Amirul Ashraf Abd Ghani daripada Tetuan Amirul Hani & Associates dan Muhammad Al-Khusairi Md Danial (Tetuan Khusairi Danial & Co) menghujahkan, Sukarman bukan waris kepada Allahyarham.
Pemohon turut berhujah, Mahkamah Tinggi Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes itu memandangkan ibu bapa Allahyarham bermastautin di Selangor.
Selain itu, pihak pemohon berhujah manfaat hibah bersyarat takaful dikategorikan sebagai perniagaan kewangan Islam di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Katanya, bantahan itu turut menyentuh dakwaan bahawa, pernyataan tuntutan responden mengemukakan naratif serta peruntukan undang-undang yang tidak berkaitan sehingga boleh mengelirukan mahkamah.
Bagaimanapun, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili responden berkata, mahkamah menolak hujahan pemohon bahawa kedua-dua responden tidak mempunyai ‘locus standi’ atau kedudukan di sisi undang-undang untuk memulakan tindakan berkenaan.
Menurutnya, hakim berpendapat kedua-dua responden selaku pentadbir harta pusaka mempunyai kuasa untuk memulakan tindakan serta mencabar hibah tersebut.
“Mahkamah turut menolak dakwaan pemohon bahawa, responden merujuk kepada peruntukan undang-undang yang tidak mempunyai kaitan dengan tuntutan berkenaan.
“Selain itu, hakim menerima surat pengesahan bermastautin responden pertama sebagai bukti bahawa individu berkenaan menetap di Putrajaya,” katanya.
Sebelum keputusan dibuat, Akberdin memaklumkan mahkamah bahawa, berdasarkan persetujuan peguam sivil yang mewakili pemohon, tuntutan berkenaan telah difailkan semula di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur.
Katanya, kes berkenaan juga telah ditetapkan untuk perbicaraan pada 15 Januari 2027, menyebabkan prosiding di Mahkamah Syariah menjadi akademik.
Berdasarkan hujahan, Akberdin berhujah, harta itu bukan hibah, maka ia perlu terbatal dan tidak sah kerana tidak memenuhi rukun-rukun dan syarat sah hibah menurut Hukum Syarak.
Katanya, mahkamah perlu memerintahkan sebarang transaksi wujud pada ketika itu terbatal atau dihentikan serta-merta.
Beliau memohon, mahkamah memerintahkan manfaat takaful tersebut menjadi sebahagian daripada harta pusaka Allahyarham dan perlu dibahagikan kepada waris-waris si mati mengikut hukum faraid.
Responden juga diwakili peguam syarie, ‘Izzah Shakirah Mohd Sukor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

