Mahkamah rayuan kekalkan pembebasan bekas Timbalan Pengarah Kanan DBKL

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan pembebasan bekas Timbalan Pengarah Kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada satu pertuduhan menerima suapan berjumlah RM150,000.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk P. Ravinthran, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk S. M. Komathy sebulat suara menolak rayuan terakhir pihak pendakwaan terhadap pembebasan Sabudin Mohd Salleh.

Ravinthran yang mempengerusikan panel itu berkata tiada rekod dokumen pengeluaran wang daripada akaun syarikat atau sebarang penyata bank menunjukkan responden (Sabudin) telah menerima wang itu.

"Pertuduhan terhadap responden merujuk kepada satu tempoh dalam Ogos 2018. Bagaimanapun, tiga saksi pendakwaan mengatakan ia mungkin dilakukan dalam Jun 2018 kerana tarikh Hari Raya Puasa atau hari Raya Haji dan ia tidak jelas. Inilah faktor utama Mahkamah Sesyen tidak menerima bukti daripada ketiga-tiga saksi pendakwaan.

Mahkamah Sesyen tidak menganggap ketiga-tiga saksi pendakwaan boleh dipercayai dan tiada alasan untuk mahkamah ini campur tangan dengan dapatan itu setelah mempertimbangkan keadaan kes ini. Maka kami menolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen,” kata Ravinthran.

Sabudin hadir di mahkamah hari ini berkerusi roda dan kelihatan tenang selepas mendengar keputusan itu sementara isterinya kelihatan melakukan sujud syukur dan menangis di galeri awam.

Pada 8 April, 2021 Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Sabudin tanpa memanggil beliau untuk mempertahankan diri dan kemudian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Feb 2022 mengekalkan keputusan itu dan menolak rayuan pihak pendakwaan.

Sabudin, 61, yang merupakan Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Awam dan Pengangkutan Bandar DBKL didakwa menerima RM150,000 daripada Chia Chee Seng, Pengarah Tegap Elit Sdn Bhd sebagai satu dorongan untuk beliau menentusahkan bagi pembayaran pendahuluan yang dikemukakan beberapa syarikat.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Ukay Perdana di sini antara 13 hingga 19 Ogos, 2018.

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal sementara Sabudin diwakili peguam K. Theivaendran. - Bernama