Agong titah terus laksana program penstabilan harga

Al-Sultan Abdullah bertitah, program penstabilan dan penyeragaman harga dilaksanakan secara berterusan untuk membantu rakyat.
Al-Sultan Abdullah bertitah, program penstabilan dan penyeragaman harga dilaksanakan secara berterusan untuk membantu rakyat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, program penstabilan dan penyeragaman harga dilaksanakan secara berterusan bagi mengelak rakyat terus terhimpit dengan kos sara hidup.

Seri Paduka Baginda juga menitahkan supaya kerajaan terus melaksanakan program pengedaran barangan dan penguatkuasaan bagi memastikan kos barangan keperluan harian tidak membebankan rakyat.

"Beta mengalu-alukan inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Malaysia bagi menyokong pemulihan ekonomi domestik. Program ini berupaya menawarkan sumber pekerjaan dan pendapatan baharu melalui pemerkasaan industri francais dan jualan langsung.

"Selain itu, pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara membolehkan rakyat beta untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga yang berpatutan. Usaha ini juga selaras dengan aspirasi untuk menjaga kebajikan rakyat, membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan taraf hidup rakyat beta," titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen ke-14 pada Isnin.

Sementara itu, Seri Paduka Baginda menitahkan kerajaan agar menumpukan usaha membasmi miskin tegar menjelang 2025 melalui tindakan bersepadu pelbagai pendekatan.

"Semua pihak hendaklah menggembleng tenaga dan memberikan komitmen yang tinggi agar taraf hidup golongan miskin tegar dapat ditingkatkan melalui peningkatan pendapatan yang mampan," titah Seri Paduka Baginda.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah agar usaha memulihkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta usahawan informal yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan bencana banjir sangat penting dan kritikal.

Artikel Berkaitan:

Seri Paduka Baginda bertitah, kumpulan khusus seperti penjaja dan peniaga kecil, wanita, belia, kumpulan B40 termasuk asnaf serta golongan yang hilang pekerjaan perlu terus dibantu melalui program bimbingan keusahawanan dan pembiayaan yang bersesuaian demi kelangsungan hidup.

"Pendigitalan operasi akan terus diperkukuhkan untuk membantu usahawan tempatan bangkit semula dan menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi rakyat serta pembangunan ekonomi negara.

"Matlamat untuk membina bangsa usahawan dan menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul akan dapat dicapai melalui inisiatif di bawah Dasar Keusahawanan Nasional 2030," titah Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya tumpuan diberikan kepada penyediaan infrastruktur luar bandar yang lebih baik dan berkualiti bagi menjamin kesejahteraan masyarakat di kawasan tersebut.

"Ketidakseimbangan pembangunan dan ekonomi antara kelas pendapatan, wilayah dan negeri serta antara etnik mesti dikurangkan bagi memastikan kemakmuran negara dinikmati semua secara adil," titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah mahu penyediaan tempat tinggal yang kondusif diperluas melalui bantuan bina baharu serta pembaikan rumah yang uzur buat golongan miskin dan kurang berkemampuan selain mengutamakan akses kepada perumahan melalui inisiatif lebih mesra pendapatan.

Mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Seri Paduka Baginda bertitah, Jawatankuasa Khas Pemantauan RMK12 perlu mengawasi pelaksanaan dan pencapaian rancangan hala tuju negara sebaik-baiknya bagi mencapai sasaran hasil dan seterusnya memenuhi keperluan sosioekonomi.

Al-Sultan Abdullah bertitah, komitmen kerajaan mengekalkan pembangunan sebagai agenda nasional terbukti dengan penyediaan peruntukan pembangunan bagi Rolling Plan Kedua RMK-12 berjumlah RM75.6 bilion bagi pelaksanaan 6,749 program atau projek.

“Beta menyeru agar semua program dan projek yang bakal dilaksanakan tersebut hendaklah siap mengikut jadual dan mematuhi kualiti yang ditetapkan agar dapat memberi manfaat kepada rakyat beta,” titah Yang di-Pertuan Agong. - Bernama