RM800 juta untuk bantuan awal persekolahan - PM

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memperuntukkan RM800 juta bagi menyediakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang disalurkan secara sekali beri berjumlah RM150 kepada semua pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Enam pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, ibu bapa perlu hadir ke sekolah untuk menerima bantuan itu.
"Ibu bapa harus pergi ke sekolah sebab ibu bapa perlu pastikan wang itu dibelanja untuk anaknya dan mereka kena dengar daripada guru masalah anak.
"Hendak wakilkan (kepada anak) tidak boleh sebab kita syaratkan dia (ibu bapa) harus ke sekolah kerana perbelanjaan ini tinggi... RM800 juta," katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini pada Isnin.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan memaklumkan BAP akan mula diagih seawal 11 Januari ini.
Perdana Menteri juga berkata, kerajaan bersetuju memperuntukkan dana segera berjumlah RM200 juta bagi membaiki Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan maahad tahfiz yang daif pada tahun ini.
"Walaupun ia tidak termasuk dalam skim sekolah ikut dasar pelajaran kebangsaan tetapi lebih 300,000 pelajar berada di SAR.... dahulu (bantuan) dibatalkan sama sekali oleh Perdana Menteri terdahulu dan ini sebenarnya mendera anak-anak kita," katanya.
Anwar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia diarah untuk melaksanakan rundingan bagi memperbaiki kemudahan, meningkatkan mutu kurikulum serta guru di SAR dan maahad tahfiz.
Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kepada RM80 juta berbanding RM50 juta pada tahun lepas dan memperuntukkan RM50 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
"Anak-anak kita juga ada yang ke SJKC dan sekarang, ada beberapa SJKC yang turut disertai oleh anak-anak bumiputera dan anak-anak India... tanpa kecuali, dahulu kita sediakan RM50 juta dan kita naikkan tahun ini kepada RM80 juta untuk SJKC.
"SJKT walaupun lebih kecil jumlahnya tetapi ada juga sekolah Tamil ini yang keadaannya daif dan sebab itu kita sediakan RM50 juta," katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Kerajaan memperuntukkan RM800 juta untuk Bantuan Awal Persekolahan disalurkan RM150 bagi setiap pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Enam
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan tersebut
- Ibu bapa perlu ke sekolah untuk menerima bantuan ini
- Bantuan diwujudkan untuk memastikan wang dibelanja untuk anak dan ibu bapa mendengar masalah anak daripada guru
- Bantuan Awal Persekolahan akan mula diagihkan pada 11 Januari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
