Bot pancing karam akibat dipukul ombak

Mangsa yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka karam selamat tiba di jeti Maritim Malaysia Bukit Malut, Langkawi di sini pada Sabtu.
Mangsa yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka karam selamat tiba di jeti Maritim Malaysia Bukit Malut, Langkawi di sini pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Maritim Malaysia mengesahkan punca sebuah bot pemancing karam di Pulau Beras Basah, Langkawi pada Sabtu dipercayai akibat dipukul ombak.

Bot yang membawa 18 pemancing termasuk empat kru itu karam di kedudukan 9.4 batu nautika, barat Pulau Beras Basah, Langkawi kira-kira jam 2.15 petang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, siasatan mendapati bot tersebut pecah di bahagian hadapan akibat dipukul ombak sebelum bocor dan karam dalam tempoh 45 minit.

Bagaimanapun katanya, kesemua mangsa pemancing termasuk kru diselamatkan sebuah bot nelayan tempatan pada jam 7.30 malam Ahad.

"Sementara menunggu bantuan menyelamat tiba, kesemua mangsa warga tempatan berusia lingkungan antara 26 hingga 55 tahun itu memakai jaket keselamatan sambil berpegang tangan antara satu sama lain.

"Mereka turut membentuk kumpulan di dalam air sebelum diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan yang melalui lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan kesemua mangsa dipindahkan ke bot penyelamat 5 di kedudukan kira-kira 15.3 batu nautika, barat Pulau Singa Besar, Langkawi pada jam 11.05 malam Sabtu.

Dua daripada 18 mangsa yang mengalami kecederaan di tangan dan kekejangan otot kaki dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.
Dua daripada 18 mangsa yang mengalami kecederaan di tangan dan kekejangan otot kaki dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

Tambah beliau, dua daripada 18 mangsa yang mengalami kecederaan di tangan dan kekejangan otot kaki dikejarkan ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi sebaik tiba di jeti Maritim Malaysia Bukit Malut pada jam 11.45 malam.

"Berikutan penemuan ini, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 12.30 tengah malam," katanya.

Untuk rekod insiden ini merupakan operasi menyelamat kedua ke atas bot yang sama selepas September 2021 membabitkan 17 kru dan pemancing.

Mohd Zawawi turut menasihatkan pelancong yang ingin menyewa bot bagi tujuan rekreasi atau aktiviti menangkap ikan sentiasa memeriksa tahap keselamatan dan memastikan pemilik bot memiliki lesen yang sah sebelum turun ke laut.

"Mereka juga perlu menyemak ramalan cuaca memakai jaket keselamatan dan memastikan bekalan makanan mencukupi selain memaklumkan keberadaan diri kepada keluarga," katanya.

Maritim Malaysia juga mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis 04-9662750 atau MERS 999.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kesemua 18 individu yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaiki mereka karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah, Langkawi, di sini, selamat tiba di jeti Maritim Malaysia Bukit Malut, Langkawi di sini, kira-kira jam 11.45 malam,pada Sabtu.