PRN Johor catat sejarah, saingan hingga tujuh penjuru

Hasni (kiri) berdepan empat penjuru di Benut.
Hasni (kiri) berdepan empat penjuru di Benut.
A
A
A

PONTIAN - Saingan empat hingga tujuh penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai sejarah baharu bagi negeri ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Hasni Mohammad, berkata situasi empat dan tujuh penjuru itu dilaporkan berlaku di hampir kesemua 56 pusat penamaan calon negeri ini.

"Hari ini saya menyaksikan saingan paling ramai di Benut dengan empat calon bertanding berbanding sebelum ini.

"Berdasarkan suasana di pusat penamaan calon di seluruh negeri, BN akan berdepan saingan empat hingga tujuh penjuru. Ini membuktikan demokrasi berjalan dengan lancar dan dalam suasana setiap calon mesra," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Benut, di sini, pada Sabtu.

Hasni yang juga bekas Menteri Besar Johor berdepan saingan empat penjuru di DUN Benut.

Penyandang DUN Benut itu akan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Senator Datuk Isa Ab Hamid, calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Iskandar Noor Ibrahim dan Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Haniff@Ghazali Hosman.

Sementara itu, Isa yang juga calon PN berkata, pertandingan empat penjuru di DUN Benut akan memberi saingan sengit kepada setiap calon dan parti yang bertanding sekaligus mampu memecahkan dominasi Benut sebagai kubu kuat UMNO.

Artikel Berkaitan:

Katanya, persiapan rapi perlu dilakukan membabitkan jentera pilihan raya di setiap pusat daerah mengundi (PDM) supaya gerak kerja yang lebih berkesan dapat dilaksanakan dalam keadaan norma baharu ketika ini.

"Kali pertama bertanding di DUN Benut, saya sudah berdepan dengan saingan empat penjuru. Saya melihat persaingan empat penjuru ini sebagai satu bentuk demokrasi.

"Sebagai anak tempatan dan pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut, saya lebih memahami hasrat warga tempatan di sini yang rata-ratanya adalah masyarakat luar bandar terbabit dalam aktiviti pertanian dan perikanan," katanya.

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Haniff@Ghazali Hosman mengakui tidak gentar berdepan dengan calon BN yang juga penyandang tiga penggal DUN Benut, Datuk Hasni Mohammad.

"Saya melihat trend pengundi di mana ada peningkatan undi muda, saya akan fahami apa kehendak mereka dan masyarakat di sini," katanya

Calon Pejuang, Iskandar Noor pula berkata, beliau turut menyambut baik saingan empat penjuru di Benut dan berharap semua calon bertanding dengan berhemah.

"Saya akan fokus kepada pembangunan dalam bidang pertanian dan kelangsungan hidup pengundi," katanya.