Penempatan haram digempur, 44 PATI ditahan

Sebahagian PATI ditahan Imigresen Selangor dalam operasi tersebut.
Sebahagian PATI ditahan Imigresen Selangor dalam operasi tersebut.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seramai 44 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan di tapak semaian pokok persendirian di sekitar Hutan Simpan Bukit Lagong di sini, pada Sabtu.

Difahamkan kawasan bukit tersebut menjadi tumpuan PATI untuk bekerja berikutan lokasinya terpencil, malah terdapat sebilangan kecil warga tempatan turut bekerja dan menetap di sini.

Ketika serbuan sekitar jam 12.30 tengah malam, beberapa PATI cuba melarikan diri, malah ada yang sanggup meninggalkan anak dan isteri untuk menyelamatkan diri daripada dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

Pengarah Imigresen Selangor, Dr Muhammad Syahmi Jaafar berkata, hasil siasatan mendapati ada antara mereka menetap secara haram di tapak tersebut sejak empat tahun lalu.

"Operasi hari ini berdasarkan aduan awam dan risikan kita jalankan lebih kurang sebulan untuk memastikan kesahihan aduan.

"Malam ini Imigresen Selangor berjaya melaksanakan operasi membanteras PATI di kawasan Hutan Simpan Kekal Bukit Dagong dan menahan 43 warga Indonesia serta seorang lelaki Bangladesh," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi operasi di sini awal pagi Sabtu.

Sebahagian PATI terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Hutan Simpan Bukit Lagong, Sungai Buloh, awal pagi Sabtu.
Sebahagian PATI terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Hutan Simpan Bukit Lagong, Sungai Buloh, awal pagi Sabtu.

Ditanya berkenaan penglibatan sindiket, beliau berkata, Imigresen sedang menyiasat kemungkinan penglibatan pihak tidak bertanggungjawab yang mengeksploitasi buruh warga asing berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ikut risikan kita tengok lokasi ini memang terpencil dan kebanyakan mereka bekerja di tapak semaian menanam rumput dan pokok.

"Kita kena siasat keberadaan mereka di sini kerana ada yang menyatakan telah tinggal lama dan tidak mempunyai pas sah untuk bekerja. Paling lama di dapati lebih dari empat tahun," katanya.

Muhammad Syahmi berkata, pemantauan berterusan akan dijalankan untuk memastikan PATI tidak kembali bersarang di kawasan berkenaan.

Katanya, kesemua PATI berusia dalam lingkungan empat hingga 55 tahun terdiri daripada 20 lelaki, 20 wanita dan tiga kanak-kanak warga Indonesia serta seorang lelaki Bangladesh direman 14 hari.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) (tidak memiliki pas sah) dan Seksyen 15(1)(c) (tinggal lebih masa) Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.