Tiga 'transporter' seludup PATI ditahan

Tiga lelaki tempatan yang bertindak sebagai transporter ditahan bersama 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar oleh anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa di Lundang, Kota Bharu pada Selasa.
Tiga lelaki tempatan yang bertindak sebagai transporter ditahan bersama 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar oleh anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa di Lundang, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga lelaki tempatan yang bertindak sebagai 'transporter' ditahan bersama 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar oleh anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa di Lundang di sini pada Selasa.

Kesemua mereka ditahan pada jam 12.30 tengah malam selepas anggota PGA melakukan pemeriksaan terhadap tiga buah kenderaan jenis MPV Toyota Alphard, Proton Persona dan Honda Accord.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua PATI terdiri daripada empat perempuan dan 16 lelaki itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Siasatan awal mendapati, tiga lelaki tempatan tersebut terlibat dengan aktiviti penyeludupan dengan menyediakan perkhidmatan pengangkutan melalui jalan yang tidak diwartakan.

"Mereka mengenakan bayaran sebanyak RM150 bagi setiap PATI yang dibawa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, hasil semakan mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes narkotik dan saringan ujian air kencing dijalankan mendapatinya positif methamphetamine.

Ujarnya, manakala ujian saringan ke atas dua lagi suspek adalah negatif.

Muhamad Zaki memberitahu, tiga suspek terbabit telah ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Kesemua 20 PATI Myanmar pula ditahan bawah Akta Imigresen.

"Polis bersama semua agensi penguat kuasa di sempadan negara sentiasa berusaha dan melipatgandakan usaha kawalan bagi membanteras sebarang bentuk penyeludupan serta jenayah rentas sempadan termasuk aktiviti kemasukan PATI Malaysia," ujarnya.

Beliau mengingatkan masyarakat agar tidak sesekali bersekongkol dan terlibat dalam apa jua bentuk jenayah dan sebarang bentuk perkongsian maklumat kepada pihak polis adalah sangat dialu-alukan.