Jumlah mangsa banjir di Terengganu, Kelantan meningkat

Seorang penduduk mendayung sampan selepas rumahnya ditenggelami air ekoran hujan lebat semasa tinjauan di Kampung Kepah, Hulu Terengganu pada Jumaat. - Foto Bernama
Seorang penduduk mendayung sampan selepas rumahnya ditenggelami air ekoran hujan lebat semasa tinjauan di Kampung Kepah, Hulu Terengganu pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan, mencatatkan peningkatan malam ini.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,237 orang membabitkan 339 keluarga setakat 10 malam ini, berbanding 975 orang daripada 269 keluarga pada petang Jumaat.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, 22 PPS beroperasi malam ini iaitu 12 di Kemaman, empat di Setiu dan masing-masing tiga di Hulu Terengganu dan Besut.

Di KELANTAN, mangsa banjir di Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli, meningkat kepada 400 orang daripada 113 keluarga setakat 9 malam ini berbanding 52 orang daripada 17 keluarga petang tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan, sebanyak 11 PPS dibuka melibatkan masing-masing empat di Kuala Krai dan Tanah Merah manakala tiga di Jeli.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli merekodkan bacaan 29.75 meter (m), Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (40.31m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (26.38m), Sungai Kelantan di Temangan, Machang (18.87m) dan Kampung Sungai Nal di Kuala Krai (25.01m).

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan sistem cuaca tekanan rendah dijangka melanda sempadan negeri Pahang dan Terengganu hari ini, dan seterusnya bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung yang boleh menyebabkan hujan lebat berterusan dan angin kencang.

Hujan lebat dan angin kencang berkenaan dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung sehingga 26 Februari, namun ramalan terkini menunjukkan kemungkinan sistem cuaca tekanan rendah itu untuk meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah.- Bernama

Artikel Berkaitan: