PM ulangi jaminan tidak tutup sektor ekonomi, industri

Ismail Sabri ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama Keluarga Malaysia di Thailand pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama Keluarga Malaysia di Thailand pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menutup sektor ekonomi dan industri walaupun kes Covid-19 harian yang direkodkan di Malaysia kini masih tinggi.

Perdana Menteri berkata, rakyat Malaysia perlu untuk hidup bersama Covid-19 selepas dua tahun melawan penularan virus itu.

"Walaupun kes Covid-19 meningkat mencecah 30,000 kes, kes (Covid-19) berada dalam kategori empat dan lima adalah kurang daripada satu peratus.

"Kita tidak akan menutup sektor ekonomi... sebaik sahaja kita dah buka, kita akan buka seterusnya,” katanya pada majlis perjumpaan bersama Keluarga Malaysia yang dihadiri kira-kira 100 rakyat Malaysia termasuk pelajar di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Hadir sama ialah Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.

Ismail Sabri berkata, kadar vaksinasi yang tinggi juga akan membolehkan Malaysia membuka semula sempadan antarabangsanya tidak lama lagi.

"Kita akan buka sempadan tidak lama lagi. Sekarang kita dalam proses meyakinkan rakyat kita bahawa jangkitan luar tidak boleh membahayakan. Rakyat Malaysia yang sudah lama tidak balik, bolehlah balik. Kita akan umumkan bila kita akan buka (sempadan),” katanya.

Perdana Menteri, berkata kini Malaysia telah mewujudkan Laluan Perjalanan Vaksinasi Darat (VTL) dengan Singapura, manakala VTL antara Malaysia-Brunei dijangka bermula Mac 1, dan Malaysia-Indonesia dijangka tidak lama lagi.

"Bagi Thailand, kita akan mewujudkan VTL.... Kalau boleh (wujudkan VTL), kita boleh buka (sempdan) segera,” kata Ismail Sabri yang tiba di Bangkok semalam untuk lawatan rasmi tiga hari atas jemputan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha.

Artikel Berkaitan:

Dianggarkan 5,000 hingga 6,000 rakyat Malaysia sama ada yang belajar atau bekerja di Bangkok, namun hanya 1,018 rakyat Malaysia termasuk 40 pelajar melanjutkan pengajian di universiti-universiti di sekitar sini yang berdaftar secara rasmi dengan pihak kedutaan.

Sehubungan itu, Jojie menggalakkan semua rakyat Malaysia yang berada di Thailand untuk mendaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok ataupun Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.- Bernama