'Ingat migrain, rupanya gegaran akibat gempa bumi'

Anggota bomba membuat pemantauan di beberapa lokasi sekitar Selangor berikutan gegaran gempa bumi yang dirasai pada pagi Jumaat. - (Gambar kecil: Amir Satria)
Anggota bomba membuat pemantauan di beberapa lokasi sekitar Selangor berikutan gegaran gempa bumi yang dirasai pada pagi Jumaat. - (Gambar kecil: Amir Satria)
A
A
A

SHAH ALAM - "Tengok lampu goyang, ingatkan migrain rupanya gegaran gempa bumi."

Demikian reaksi salah seorang penduduk Pangsapuri Danaumas, Seksyen 7, Shah Alam di sini yang merasai gegaran kejadian gempa bumi berskala 6.2 magnitud yang melanda Utara Sumatera, Indonesia pagi Jumaat.

Penduduk, Amir Satria Md Rozi, 31, berkata, gegaran tersebut dirasakan kira-kira jam 9.40 pagi.

"Saya tengah bantu isteri di dapur masa tu, mulanya saya perasan lampu gantung di ruangan makan bergoyang.

"Saya sangkakan saya pening atau migrain, tanya isteri rupanya dia pun rasa gegaran, tapi tak terlalu kuat, cuma rasa terhoyong-hayang sedikit," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, penduduk Flat PKNS Seksyen 7, Mohd Amirul Danial Zainal, 34, berkata gegaran dirasakan tidak terlalu kuat.

"Saya tengah duduk di atas kerusi di ruang tamu, tiba rasa macam nak terjatuh, pelik juga sebab tak pernah rasa macam ini.

"Masa tu tak sangka gegaran ini disebabkan gempa bumi, bila tengok dalam media sosial, baru tahu rupanya ada gempa bumi di Utara Sumatera, Indonesia" katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi, penduduk di beberapa kawasan di negeri ini digemparkan dengan gegaran kecil.

Gegaran difahamkan berpunca daripada kejadian gempa bumi berskala 6.2 magnitud di Utara Sumatera, Indonesia.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JPBPM) Selangor menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai berhubung kejadian.

"Laporan berhubung gegaran diterima antara jam 9.40 pagi sehingga 10.33 pagi melibatkan kawasan di Banting, Puchong, Shah Alam, Damansara, Petaling Jaya, Subang Jaya, Rawang, Meru dan beberapa kawasan lain di negeri ini.

"Laporan keseluruhan sehingga kini tidak melibatkan sebarang kecederaan dilapodkan, pihak bomba hanya membuat pemantauan di lokasi kejadian," katanya.