Yakin mampu atasi isu ayam, telur dan minyak masak

Abdul Fattah
Abdul Fattah
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan (Angkasa) mampu mengatasi isu kekurangan bekalan ayam, telur dan minyak masak sekiranya diberikan peluang menjadi pembekal.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah menyatakan keyakinan itu berdasarkan pengalaman menguruskan import dan eksport pelbagai barangan termasuk makanan ternakan sebelum ini.

Menurutnya, dua agensi itu mempunyai rangkaian luas bagi memudahkan proses pembekalan barangan kepada pengguna.

"Kenapa kerajaan tidak beri peluang kepada gerakan koperasi termasuk Pertubuhan Peladang untuk mengeluarkan minyak masak sebagai contoh, begitu juga bekalan beras, kenapa tidak diberikan kepada kami sedangkan Nafas dan Angkasa mempunyai kemampuan dan pengalaman dalam perkara ini.

"Kita akui antara punca kekurangan bekalan ayam dan telur disebabkan monopoli syarikat tertentu dalam menentukan harga dan bekalan hingga membebankan pengguna.

Selagi isu monopoli tidak dapat ditangani, kita terus berdepan masalah kekurangan bekalan.

"Jadi, disebabkan itu kita mahu membantu kerajaan untuk meringankan bebanan kenaikan harga barangan dihadapi golongan berpendapatan rendah (B40) yang tidak dapat diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat bersama Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah, Datuk Zamri Yaakob di pejabat Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) di Indera Mahkota di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Abdul Fattah menjelaskan Angkasa dan Nafas sedia menjadi pemudah cara untuk membantu kerajaan mengawal harga barangan dan membantu golongan B40 membeli barangan pada harga berpatutan.

"Kita (Angkasa) mempunyai 3,000 premis koperasi manakala pihak Nafas pula ada 279 pertubuhan peladang kawasan (PPK) di seluruh negara.

"Jadi secara keseluruhannya kita ada rangkaian yang mencukupi bagi memastikan bekalan sampai ke golongan sasar," katanya.

Sementara itu, Zamri memaklumkan harga makanan haiwan terlalu mahal menjadi penyebab masalah kekurangan bekalan ayam dan telur sebelum ini.

Jelasnya, penternak tidak mampu menyerap kos operasi mereka susulan kenaikan harga makanan haiwan secara mendadak.

"Kita lihat harga ayam ketika ini stabil disebabkan subsidi makanan ayam dari kerajaan.

Kita tidak tahu sampai bila kerajaan mampu menanggung subsidi ini.

"Kalau untuk tempoh tiga atau empat bulan, mungkin kerajaan mampu, kalau untuk tempoh lebih lama, saya tidak fikir kerajaan mampu," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan sudah membelanjakan lebih RM40 bilion setahun untuk mengimport bekalan makanan ayam dan jumlah ini memberi impak serius terhadap kewangan negara.

Melihat situasi ini, Zamri berkata, Nafas dan Angkasa sedia membantu kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan terhadap orang tengah.