Pulau Pinang akan teliti jika ada keperluan batal acara rasmi

Kon Yeow (tengah) menyaksikan MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif PCEB, Ashwin (dua dari kiri) dengan Ketua Pemasaran Global Malaysia Airlines, Roslan Ismail (dua dari kanan) pada Khamis.
Kon Yeow (tengah) menyaksikan MoU antara Ketua Pegawai Eksekutif PCEB, Ashwin (dua dari kiri) dengan Ketua Pemasaran Global Malaysia Airlines, Roslan Ismail (dua dari kanan) pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan memantau dengan teliti sekiranya terdapat keperluan untuk menunda atau membatalkan sebarang acara rasmi kerajaan susulan peningkatan kes Covid-19.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sehingga kini, tiada acara rasmi kerajaan negeri yang berskala besar yang akan diadakan.

"Setakat ini, kerajaan negeri tiada acara besar-besaran, sekiranya ada, kita akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antaranya ujian kendiri dan menjaga penjarakan sosial.

"Oleh itu, kita akan pantau dan sekiranya perlu maka arahan dan keputusan akan dibuat," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Komtar pada Khamis.

Beliau menambah, sebarang keputusan untuk menunda acara membabitkan kerajaan negeri akan memberi impak kepada banyak pihak.

Sebelum ini, Perak mengumumkan penangguhan semua program kerajaan negeri selepas menerima pandangan dan nasihat Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan berkenaan dibuat memandangkan peningkatan kes Covid-19 yang melanda negeri serta negara masa ini.

Tambah Kon Yeow, kerajaan negeri juga sedang meneliti waktu perkhidmatan penjawat awam di Pulau Pinang berikutan ramai kakitangan yang dijangkiti Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Saya terima laporan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang mana kita akan tunggu arahan berhubung waktu operasi perkhidmatan awam Pulau Pinang. Ini kerana, banyak agensi dan jabatan terkesan apabila penjawat awam dijangkiti atau kontak rapat kepada kes-kes positif.

"Hal ini memberi impak kepada mutu perkhidmatan namun langkah berjaga-jaga perlu diambil lebih awal," katanya.

Terdahulu, Kon Yeow menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) serta Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) yang menjalin kerjasama dalam usaha memperkukuh hubungan dan merancakkan semula ekonomi Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, satu jalinan kerjasama antara Biro Pameran dan Konvensyen Pulau Pinang (PCEB) dan Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) dimeterai dalam usaha memperkukuh hubungan dan merancakkan semula ekonomi Pulau Pinang.

Susulan daripada itu, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara kedua-dua pihak bagi memperluaskan peranan MAG dalam menyokong dan memudahkan hubungan antara peniaga luar dengan aktiviti perniagaan di negeri ini.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PCEB, Ashwin Gunasekran dan Ketua Jualan Global untuk Malaysia Airlines, Roslan Ismail, dan disaksikan oleh Kon Yeow, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail.

Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang memahami kepentingan kerjasama dalam menyatukan industri dan membantu antara satu sama lain untuk kemajuan ekonomi negeri ini.

Menurutnya, pada 2019, Kerajaan Pulau Pinang melalui Pejabat Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) telah berusaha untuk menarik minat syarikat penerbangan dalam menyediakan penerbangan antarabangsa secara terus (direct flight) baharu ke Pulau Pinang.

Sementara itu, Izham berkata, Pulau Pinang terus menjadi hab antarabangsa dan domestik pilihan untuk MAG dengan memudahkan hubungan udara untuk pelancong perniagaan dan percutian melalui syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan Firefly.