Isu rasuah perlu diletakkan di bawah Parlimen: Rais

Tan Sri Dr Rais Yatim semasa menjadi tetamu dalam Wawancara Eksklusif Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Tan Sri Dr Rais Yatim semasa menjadi tetamu dalam Wawancara Eksklusif Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu. FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Kuasa untuk menilai dan mengawasi isu rasuah perlu diletakkan di bawah Parlimen dan bukannya berada di bawah mana-mana jabatan seperti yang berlaku hari ini.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, perkara itu perlu bagi membolehkan tindakan semak dan imbang dapat dilaksanakan secara lebih komprehensif bagi menjamin masa depan Malaysia ke arah bebas rasuah.

“Kuasa Parlimen untuk mengawas mesti ada, tidak harus antirasuah berada di bawah mana-mana jabatan.

“Mesti diletakkan di bawah Parlimen (isu rasuah), bukan hanya untuk mengisi pangkat dan jawatan, tapi untuk dinilai dari segi semak dan imbang.

“Di bawah akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia pun sudah ada banyak kuasa penuh, ini harus kita lihat dalam satu kelompok supaya negara kita bebas dari rasuah,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam Wawancara Eksklusif Sinar Harian di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, Rais berkata, SPRM perlu menonjolkan imej bersih dalam melaksanakan tugas sebagai entiti yang menyiasat isu berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM sendiri mesti membina imej yang kalis kritikan, bermakna mereka yang perlu menonjolkan dahulu sifat ikhlas, boleh disingkap dan ditentukan kejituan kerja masing-masing,’’ ujarnya.

Artikel Berkaitan: