Empat suspek kes kecoh di hospital ditahan, positif dadah

Tangkap layar video tular kekecohan yang berlaku di pekarangan Jabatan Kecemasan HRPB Ipoh. (Gambar kecil: Mior Faridalathrash)
Tangkap layar video tular kekecohan yang berlaku di pekarangan Jabatan Kecemasan HRPB Ipoh. (Gambar kecil: Mior Faridalathrash)
A
A
A

IPOH - Empat lelaki disyaki terlibat dalam pergaduhan sekumpulan individu hingga menimbulkan kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini telah ditahan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kesemua mereka berusia 18 hingga 24 tahun itu ditahan di lokasi berasingan sekitar Ipoh pada Sabtu dan Ahad antara jam 7.45 malam dan 11.50 malam.

Menurutnya, polis telah menjalankan ujian saringan air kencing ke atas setiap suspek dan mendapati, semua yang ditahan positif ganja.

"Siasatan mendapati dua daripada mereka adalah rakan manakala dua lagi suspek tidak mengenali antara satu sama lain," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, perselisihan faham antara dua keluarga berkaitan isu cinta dipercayai menjadi punca yang membawa kepada kekecohan di pekarangan HRPB di sini yang videonya tular pada Sabtu.

Kekecohan yang berlaku sekitar jam 12.20 tengah malam pada Jumaat itu melibatkan sekumpulan lelaki warga tempatan yang mahu menghantar mangsa-mangsa cedera ke hospital.

Artikel Berkaitan: