Nelayan hilang dalam kejadian bot terbalik

Wan Mohd Zahari
Wan Mohd Zahari
A
A
A

KUANTAN - Seorang nelayan hilang selepas bot yang dinaiki bersama rakannya terbalik akibat tersangkut pada tali bot pukat tunda di perairan Karang Tanjung Pelindung di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, mangsa, Fadzely Mohamed, 40 dikhuatiri lemas manakala rakannya, Abdul Mutalib Abdul Rahman, 38 (pengadu) berjaya diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama pengadu keluar memancing kira-kira jam 7 pagi dengan menaiki sebuah bot gentian kaca.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan pulang kira-kira jam 6.20 petang hari yang sama, bot dinaiki mereka kehabisan minyak.

"Selepas selesai mengisi minyak dan mula untuk bergerak kembali, kipas enjin bot mereka terkena tali keroncong sebuah bot pukat tunda yang sedang menunda pukat di kawasan perairan itu.

"Ekoran kejadian itu, bot dinaiki mereka terbalik menyebabkan kedua-duanya jatuh ke dalam laut dan tenggelam di bawah bot," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Zahari berkata, pengadu berjaya menyelamatkan diri dengan memanjat ke atas bot yang terbalik manakala mangsa ketika itu berpaut pada tali keroncong bot pukat tunda tersebut.

Beliau berkata, tindakan kru bot pukat tunda terbabit yang meneruskan kerja menunda menyebabkan tali yang dipegang mangsa tersentak manakala pengadu turut terjatuh semula ke dalam laut.

Artikel Berkaitan:

"Selepas berjaya naik semula ke atas bot yang terbalik, pengadu menyedari mangsa hilang disyaki tenggelam dibawa arus.

"Pengadu kemudian diselamatkan nelayan lain (rakan) yang kebetulan melalui kawasan tersebut," ujarnya..

Tambah beliau, pengadu dibantu rakannya mengejar bot pukat tunda tersebut untuk mengesan mangsa.

"Setelah bot pukat tunda tersebut berhenti, pengadu cuba mencari rakannya namun mangsa gagal ditemui.

"Pengadu pulang ke pangkalan di Kampung Baru Beserah dan membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, susulan maklumat tersebut, operasi mencari dan menyelamat digerakkan melibatkan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama beberapa agensi lain.