28,825 kes Covid-19 baharu direkodkan

KKM merekodkan 28,825 kes baharu Covid-19 pada Sabtu menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 3,194,848. - Gambar hiasan
KKM merekodkan 28,825 kes baharu Covid-19 pada Sabtu menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 3,194,848. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 28,825 kes baharu Covid-19 pada Sabtu menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 3,194,848.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan 28,734 kes tempatan dan 91 kes import.

Ujar beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 28,730 kes yang dilaporkan atau 99.67 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala serta bergejala ringan, manakala sebanyak 95 kes atau 0.33 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima.

“Bagi pecahan daripada jumlah tersebut, sebanyak 20,318 kes atau 70.49 peratus adalah daripada pesakit Covid-19 kategori dua, sementara 8,412 kes atau 29.18 peratus adalah pesakit kategori satu.

“Bagi kategori tiga, terdapat 59 kes (0.20 peratus), kategori empat dengan 22 kes (0.08 peratus) serta bagi kategori lima adalah sebanyak 14 kes (0.05 peratus)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan 95 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 28 kes atau 29.47 peratus dilaporkan belum divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

Tambahnya, 49 kes atau 51.58 peratus sudah menerima dua dos vaksin Covid-19.

"Sebanyak 18 kes sudah menerima dos penggalak, berumur 60 tahun ke atas (41 kes), mempunyai komorbid (48 kes) dan tiada kes ibu mengandung.

Artikel Berkaitan:

“Dilaporkan sembilan kes (0.03 peratus daripada keseluruhan 28,825 kes) telah meninggal dunia, termasuk empat kes (0.013 peratus) kes ‘brought-in-dead’ (BID),” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 12 kluster baharu direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif sebanyak 492.

"Sebanyak 238 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 97 daripadanya disahkan Covid-19 manakala kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 141," katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan negara merekodkan sebanyak 18,514 kes sembuh pada Sabtu menjadikan jumlah kumulatif kepada 2,919,196 kes setakat ini.