PIBG bantah sekolah menengah jadi pusat mengundi

Sekumpulan ibu bapa pelajar mengadakan bantahan aman di pekarangan SMK Taman Impian Emas, Johor Bahru pada Sabtu supaya sekolah itu tidak dijadikan pusat mengundi pada PRN Johor.
Sekumpulan ibu bapa pelajar mengadakan bantahan aman di pekarangan SMK Taman Impian Emas, Johor Bahru pada Sabtu supaya sekolah itu tidak dijadikan pusat mengundi pada PRN Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari dua buah sekolah di daerah ini membantah sekolah mereka dijadikan pusat pembuangan undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Impian Emas, Mazlan Sulor berkata, ramai ibu bapa tidak bersetuju sekolah itu dijadikan pusat mengundi kerana sangat berisiko.

Mazlan Sulor
Mazlan Sulor

"Pihak sekolah telah menerima pelbagai aduan khususnya daripada ibu bapa. Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu membahayakan masyarakat setempat dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kami bimbang wujud kluster baharu Covid-19. Justeru kami mendesak agar wujud campur tangan atasan termasuk Perdana Menteri untuk menyelesaikan perkara ini agar wujud situasi menang-menang di mana SPM dan PRN Johor berjalan lancar," katanya.

Dia berkata demikian selepas beberapa ibu bapa pelajar SMK Taman Impian Emas pada Sabtu mengadakan bantahan aman tidak mahu sekolah itu sebagai pusat mengundi pada PRN Johor.

Pada Jumaat, Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan memberitahu SPR telah memilih 151 buah sekolah menengah di Johor untuk digunakan bagi PRN ini, namun beberapa perkara berkaitan sedang diperincikan.

Mazlan berkata, bantahan itu dibuat pihak PIBG selepas memikirkan masa depan pelajar yang dibimbangi akan terkesan daripada sudut emosi sekiranya berlaku penularan atau mereka sendiri dijangkiti.

Artikel Berkaitan:

Beliau bimbang sekiranya guru atau calon SPM akan dijangkiti Covid-19 sehingga menyukarkan mereka menduduki peperiksaan sekali gus akan memberi tekanan emosi kepada mereka.

Sehubungan itu, pihaknya akan menghantar surat bantahan berhubung perkara itu kepada Pengarah SPR Johor pada Ahad.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua PIBG SMK Aminuddin Baki, Shamsudin Baharon berkata, situasi terkini Covid-19 yang menyaksikan kes baharu tinggi termasuk di Johor menambah lagi kebimbangan pihaknya.

Shamsudin Baharon
Shamsudin Baharon

"Kami bimbang kerana apabila sekolah berkenaan dijadikan pusat mengundi akan ada ramai pihak keluar masuk dalam premis sekolah dan sukar untuk mengenal pasti mana-mana individu yang bergejala.

"Bagi kesejahteraan semua pihak terutama calon SPM, adalah wajar sekolah menengah tidak digunakan sebagai pusat mengundi," katanya.