Gaji minimum: Perlu seimbangkan kemampuan majikan, keperluan pekerja

Ismail Sabri (tengah) mendengar penerangan daripada petugas ketika melawat ruang pameran sempena Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) mendengar penerangan daripada petugas ketika melawat ruang pameran sempena Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan membuat pertimbangan secara holistik dengan mendengar keluhan majikan dan seimbangkan kepentingan pekerja bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 mampu dilaksanakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu penting dalam memastikan situasi 'menang-menang' antara majikan dan pekerja.

"Kita tengah buat libat urus dengan semua majikan untuk (tentukan) gaji minimum ini sebab ada syarikat yang mampu, ada syarikat terlalu kecil dan tak mampu.

"Kita takut kalau dia tak mampu nanti dia akan membuang pekerjanya. Nanti ia akan tambahkan angka pengangguran.

"Itu sebabnya kita minta Kementerian Sumber Manusia (KSM) duduk (bincang) dengan persatuan-persatuan, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan sebagainya termasuk majikan lain.

Jadi sebelum kita umumkan, biar ada penerimaan daripada majikan," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Ahad.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak melindungi majikan dengan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum baharu, namun kepentingan kerajaan adalah pekerja.

"Kalau pekerja dapat dinaikkan gaji minimum kepada RM1,500, memang itu yang terbaik," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, KSM telah melaporkan kepada kabinet berhubung hasil perbincangan minggu lalu dan meminta kementerian itu mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan sebelum kelulusan.

"Selepas sudah okay, bentang dalam kabinet untuk kita luluskan. Insya-ALLAH kita prihatin tentang kos sara hidup hari ini yang mungkin perlukan peningkatan.

"Bagaimanapun ada SME (perusahaan kecil dan sederhana), makro, sederhana dan sebagainya tak mampu (laksanakan gaji minimum RM1,500), akhirnya mereka akan buang pekerja kerana majikan tak mampu bayar gaji.

"Jadi kita akan tengok pertimbangan keseluruhan, kepentingan pekerja dan dalam masa sama kita nak dengar pandangan daripada majikan juga," katanya.