Inisiatif JaminKerja turunkan kadar pengangguran

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pelancaran Inisiatif Jamin Kerja pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pelancaran Inisiatif Jamin Kerja pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia 2022 menumpukan tiga program utama sebagai usaha menurunkan kadar pengangguran melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program yang memperuntukkan sejumlah RM4.8 bilion itu merangkumi Inisiatif Penggajian, Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP) serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (Upskill Malaysia).

"Insentif Penggajian akan dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan sasaran sebanyak 300,000 peluang pekerjaan manakala program MySTEP menawarkan 80,000 peluang pekerjaan dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategik.

"Program Upskill Malaysia dilaksanakan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp), menyediakan latihan kemahiran untuk pencari kerja bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka dan menjamin penempatan pekerjaan dengan sasaran 220,000 orang pelatih," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Ahad.

Turut hadir Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, insentif penggajian akan memberi tumpuan kepada usaha merangsang majikan untuk membuat pengambilan pekerja, terutama dalam kalangan individu yang tidak aktif bekerja seperti penganggur, golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU), bekas banduan, warga emas dan wanita menganggur bagi memastikan tiada golongan dipinggirkan.

Katanya, setelah majikan diberikan insentif bagi pengambilan pekerja, pencari kerja boleh menggunakan portal MYFutureJobs untuk mendapatkan padanan pekerjaan dengan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

Artikel Berkaitan:

"Insentif ini turut diberikan kepada majikan yang mengambil tenaga kerja tempatan bagi mengisi jawatan yang kebiasaannya dilakukan oleh pekerja asing atau pegawai dagang.

"Majikan yang layak akan menerima bantuan kewangan kerajaan antara 20 hingga 40 peratus daripada gaji kasar maksimum pekerja iaitu sebanyak RM10,000 bagi tempoh 12 bulan," katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Program MySTEP yang diterajui Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan akan melaksanakan kolaborasi strategik bersama agensi-agensi kerajaan lain.

Katanya, program itu menyasarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak yang merangkumi 50,000 pekerjaan sektor awam dan selebihnya dalam GLC untuk tahun ini.

Sementara itu mengulas mengenai Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia, beliau berkata, program tersebut merupakan kali pertama dianjurkan dengan penawaran lebih 12,000 peluang pekerjaan daripada 50 majikan pelbagai industri.

Katanya, kerajaan terus beriltizam untuk membantu lebih ramai Keluarga Malaysia yang mengalami nasib yang sama ataupun yang berdepan dengan cabaran yang berbeza untuk mendapatkan pekerjaan.

"Bagi mengurangkan jurang ketidakpadanan pekerjaan dengan kelayakan pencari kerja, saya menyeru pihak industri untuk melaksanakan strategi pengambilan pekerja yang lebih baik dengan mengambil kira perubahan sosial termasuk suasana pekerjaan yang lebih fleksibel agar padanan yang lebih baik dapat diwujudkan.

"Majikan juga perlu lebih kreatif dalam memberi jaminan pekerjaan yang baik kepada para pekerja supaya mereka kekal bersama majikan tersebut,” ujarnya.