Penggunaan katil ICU pesakit Covid-19 di Selangor terkawal

Sebanyak 60 peratus katil ICU diperuntukkan untuk merawat pesakit Covid-19 di hospital di Selangor.
Sebanyak 60 peratus katil ICU diperuntukkan untuk merawat pesakit Covid-19 di hospital di Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) yang menempatkan pesakit Covid-19 di hospital-hospital di Selangor masih dalam keadaan terkawal.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, jumlah tersebut adalah berdasarkan laporan yang diterimanya pada minggu lalu.

"Sebanyak 60 peratus katil ICU diperuntukkan untuk merawat pesakit Covid-19, manakala 80 peratus merupakan wad biasa di hospital di Selangor.

"Kita belum guna sepenuhnya katil-katil ICU yang telah disediakan. Setakat ini penggunaannya tidak melebihi jumlah yang ditetapkan." katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen AKW Kohort 1 & 2 2022 Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Siti Mariah turut bersetuju dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkenaan pemansuhan protokol isolasi kontak rapat yang akan diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada minggu hadapan.

Ujarnya, pakar-pakar kesihatan yang menjadi tulang belakang kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sering menjalankan kajian berdasarkan dapatan semasa penularan virus Covid-19 untuk mencadangkan jalan penyelesaian bagi mengekang penyebaran wabak tersebut.

"Tak akan setiap kali (dikesan sebagai kontak rapat atau kasual), nak kuarantin selama lima hari kerana ia akan mengganggu kerja.

Artikel Berkaitan:

"Itu (transisi daripada pandemik kepada endemik) adalah perjalanan yang semula jadi. Memang itulah arahnya cuma ia tidak diisytiharkan bahawa kita dalam fasa endemik sekarang, keadaan kita lain daripada negara lain.

"Apa pun saya ingatkan kepada rakyat Selangor untuk mengambil langkah pencegahan dengan tidak berasak-asak ke tempat yang ramai orang kecuali bila perlu," katanya.

Pada Sabtu, Majlis Konvokesyen AKW Kohort 1 & 2 2022 yang pertama kali diadakan menyaksikan seramai 180 penuntut akademi tersebut menyempurnakan sesi pembelajaran di Auditorium MBSA di sini.

Siti Mariah berkata, penubuhan AKW di bawah kelolaannya bertujuan untuk memantapkan kemahiran untuk melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam lapangan politik dan kerja sosial.