Pengarah syarikat didakwa pecah amanah dana Mitra lebih RM5.18 juta

Ragu Raman (kiri) mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan pecah amanah melibatkan dana Mitra lebih RM5.18 juta di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat.
Ragu Raman (kiri) mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan pecah amanah melibatkan dana Mitra lebih RM5.18 juta di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Seorang pengarah syarikat bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas enam pertuduhan pecah amanah melibatkan harta dana dari Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) bernilai lebih RM5.18 juta, tahun lalu.

Tertuduh, Datuk L Ragu Raman, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Mengikut pertuduhan, Ragu Raman sebagai seorang ejen iaitu Pengarah Ternakan Kamran Sdn Bhd yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta dana daripada Mitra didakwa telah melakukan kesalahan pecah amanah jenayah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Januari 2021 melibatkan harta tersebut iaitu wang berjumlah RM3,562,725.86, RM300,000, RM500,000, RM300,000 dan RM400,000 serta pada 18 Ogos 2021 melibatkan harta sama berjumlah RM120,000.

Semua kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank Cawangan Teluk Intan dalam daerah Hilir Perak.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM100,000 bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam S Preakas yang mewakili Ragu Raman memohon supaya jaminan lebih rendah dikenakan atas alasan pendakwaan terhadap anak guamnya itu adalah bersifat mala fide (berniat jahat).

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM50,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 21 April depan sebagai sebutan semula kes.

Pada Januari lepas, Sinar Harian melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 22 individu dalam operasi di tujuh negeri iaitu Perak, Selangor, Kedah, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka berhubung penyelewengan dana Mitra.

Mereka yang ditahan termasuk presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengarah syarikat dan setiausaha persatuan yang terbabit atau diberikan geran Mitra bagi menjayakan program pembangunan sosio-ekonomi masyarakat India golongan B40.