Rakam detik kematian untuk berjenaka adalah haram

Paparan video tular menunjukkan tiga beradik dipercayai mempunyai pertalian sebagai adik beradik membuat rakaman bersebelahan jenazah bapa mereka. (Gambar kecil: Wan Salim)
Paparan video tular menunjukkan tiga beradik dipercayai mempunyai pertalian sebagai adik beradik membuat rakaman bersebelahan jenazah bapa mereka. (Gambar kecil: Wan Salim)
A
A
A

GEORGETOWN- Tindakan membuat rakaman video tentang detik-detik di penghujung hayat seseorang dengan tujuan berjenaka adalah haram.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, tindakan itu juga merupakan perbuatan tercela, tidak sensitif dan sangat tidak beretika.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya ia bertujuan baik seperti ingin mendapat iktibar atau menimbulkan keinsafan untuk diri sendiri serta orang lain yang menonton video berkenaan, maka hukumnya adalah harus.

"Tindakan merakam detik seseorang itu menghembus nafas bergantung kepada niat seseorang. Jika tujuannya baik maka hukumnya adalah harus, tetapi jika untuk suka-suka atau dengan niat berjenaka, maka perbuatan sedemikian adalah haram.

"Kematian tidak wajar dijadikan bahan jenaka atau gurauan kerana ia adalah satu kejadian yang amat serius yang mana seseorang itu dalam keadaan nazak dan sedang menghadapi detik-detik penentuan bagi nasib dirinya di alam barzakh sementara menunggu hari pembalasan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Tambahnya, ahli keluarga yang sedang berada dalam situasi itu sepatutnya membantu menenangkan dengan membisikkan kalimah syahadah di telinga supaya hayatnya diakhiri dengan kesudahan yang baik (husnul khatimah) kerana ia diajar oleh Rasulullah SAW.

"Selain itu, ahli keluarga dan mereka yang hadir di sisi seseorang yang nazak disarankan supaya membaca surah-surah tertentu seperti surah Yasin dan ar-Ra’d supaya memudahkan rohnya keluar dengan keberkatan ayat-ayat al-Quran.

"Semoga penjelasan ringkas ini bermanfaat sebagai panduan kepada ahli keluarga seseorang yang sedang menghadapi sakaratul maut dalam kalangan umat Islam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini tiga wanita dipercayai mempunyai pertalian sebagai adik beradik membuat rakaman bersebelahan jenazah bapa mereka.

Video durasi 18 saat itu memaparkan trend ‘sebelum dan selepas’ yang menjadi ikutan di aplikasi media sosial itu.

Bahagian ‘sebelum’ ialah pada Oktober 2021 yang menunjukkan ketiga-tiga mereka sedang menari sambil duduk manakala seorang lelaki dipercayai bapa mereka berdiri di belakang.

Suntingan untuk bahagian 'selepas' telah memasukkan rakaman bertarikh Februari 2022 di mana ketiga-tiga wanita berkenaan berdiri dengan kedudukan yang sama bersebelahan dengan jenazah bapa mereka.

Pada akhir video, ketiga-tiganya berpaling ke arah jenazah.