93 peratus kesan advers vaksin dilapor tidak serius: NPRA

Sebanyak 93 peratus daripada AEFI vaksin Covid-19 yang dilaporkan adalah tidak serius.
Sebanyak 93 peratus daripada AEFI vaksin Covid-19 yang dilaporkan adalah tidak serius.
A
A
A

PUTRAJAYA - Majoriti atau 93 peratus daripada Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) vaksin Covid-19 yang dilaporkan adalah tidak serius, menurut Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Pengarah NPRA, Dr Roshayati Mohamad Sani berkata, Sistem Pelaporan AEFI NPRA menerima 24,990 laporan AEFI termasuk 1,104 laporan melibatkan dos penggalak vaksin Covid-19 dan lapan laporan bagi penerima vaksin kanak-kanak lima hingga bawah 11 tahun.

"Daripada jumlah keseluruhan ini, terdapat 1,747 laporan dikategorikan sebagai AEFI serius bersamaan kadar 27 laporan bagi setiap sejuta dos," katanya dalam kenyataan pada Rabu berhubung status AEFI vaksin Covid-19 sehingga 11 Februari.

Dr Roshayati berkata, demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan adalah antara kesan advers paling kerap dilaporkan oleh penerima vaksin dan kesan tersebut biasanya pulih dalam masa satu atau dua hari.

Beliau berkata, penerima vaksin yang mengalami sebarang kesan advers serius atau berpanjangan, hendaklah segera merujuk ke mana-mana fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan dan penyiasatan lanjut dijalankan.

"Kesan advers serius adalah kesan yang memerlukan kemasukan ke hospital, pemanjangan tempoh di wad, mengancam nyawa, atau disyaki menyebabkan kematian," katanya.

Dalam pada itu, Dr Roshayati berkata, NPRA turut memantau rapat beberapa risiko keselamatan vaksin Covid-19 yang dikenal pasti atau Adverse Event of Special Interest (AESI) dalam kalangan penerima vaksin di Malaysia ekoran isu keselamatan vaksin COVID-19 di peringkat global.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada 24 Februari 2021 dan sehingga 11 Februari tahun ini, sebanyak 64,697,715 dos vaksin Covid-19 telah diberikan melibatkan jenama Comirnaty (Pfizer) CoronaVac (Sinovac), AstraZeneca (AZ), Convidecia (CanSino) dan COVILO (Sinopharm).

Artikel Berkaitan:

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak (Booster) atau PICK-B bermula 13 Oktober 2021, dan sebanyak 13,000,984 dos penggalak telah diberikan sehingga 11 Februari.

Sejumlah 79,393 dos vaksin telah diberikan bagi kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids) sehingga 11 Februari. - Bernama