Pemilik syarikat pelancongan didakwa ubah wang haram RM1.15 juta

Norani Ismail (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.15 juta, tiga tahun lalu.
Norani Ismail (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.15 juta, tiga tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Seorang pemilik syarikat pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.15 juta tiga tahun lalu.

Norani Ismail, 66, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, warga emas itu didakwa memindahkan wang berjumlah RM1.15 juta daripada akaun semasa Malayan Banking Berhad milik Inter City Services & Travel Sdn Bhd.

Ia yang merupakan hasil daripada aktiviti haram ke akaun semasa Malayan Banking Berhad dan CIMB Bank Berhad milik tertuduh; akaun semasa Hong Leong Bank Berhad milk Inter City Services & Travel Sdn Bhd; akaun semasa Maybank Berhad dan Malayan Banking Islamic Berhad milik anaknya.

Kesalahan didakwa dilakukan antara 25 Januari hingga 3 Oktober 2019 di Malayan Banking Berhad cawangan Bukit Bintang.

Ia merupakan kesalahan mengikut pengubahan wang haram di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) Akta yang sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM100,000 bagi kesemua pertuduhan kerana ia merupakan kesalahan adalah serius.

Artikel Berkaitan:

“Tertuduh mempunyai satu pertuduhan membabitkan kes predikat di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan saya memohon kes pengubahan haram ini dipindahkan ke sana.

“Saya juga memohon sebutan kes ini ditetapkan pada 8 Mac iaitu tarikh sama dengan sebutan kes predikat di Shah Alam,” katanya.

Bagaimanapun peguam, Vinod Sharma yang mewakili tertuduh, merayu agar mahkamah dapat mengguna pakai jumlah ikat jamin iaitu RM15,000 yang diberikan Mahkamah Sesyen Shah Alam dua tahun lalu.

"Anak guam saya sentiasa hadir dalam sebutan semula kes (Mahkamah Sesyen Shah Alam) selain pasportnya telah diserahkan kepada mahkamah," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Ahmad Kamar membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mengguna pakai ikat jamin seperti yang dikenakan mahkamah itu.

“Mahkamah juga menetapkan tarikh sama iaitu 8 Mac untuk sebutan semula kes,” katanya.