Jual 400 botol air ketum sebulan, lima lelaki dicekup

Sebanyak 276 botol minuman dipercayai mengandungi air ketum dirampas di sebuah rumah di Seksyen 24 Shah Alam selepas polis menahan lima lelaki.
Sebanyak 276 botol minuman dipercayai mengandungi air ketum dirampas di sebuah rumah di Seksyen 24 Shah Alam selepas polis menahan lima lelaki.
A
A
A

SHAH ALAM - Lima lelaki warga tempatan disyaki pengedar air ketum ditahan dalam serbuan ke atas sebuah premis kediaman di kawasan perumahan sekitar Seksyen 24 di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, serbuan dibuat sekitar jam 4.30 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Shah Alam hasil maklumat awam dan risikan selama seminggu.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai mampu menjual sehingga 400 botol air ketum sebulan dengan harga RM20 sebotol untuk pasaran di sini.

"Hasil pemeriksaan pihak polis menemui sebuah tong plastik berwarna hijau, dua tong plastik warna oren dan dua kotak gabus warna putih di ruang dapur rumah tersebut mengandungi 276 botol plastik lutsinar berisi cecair disyaki ketum dianggarkan 414 liter bernilai RM4,140.

"Sebotol air ketum dijual dengan harga RM20 kepada pelanggan di sekitar Shah Alam sejak setahun lepas dan bekalan ketum diperolehi dari negeri di utara semenanjung," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 26 hingga 48 tahun didapati negatif, seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, kesemua mereka mengenali antara satu sama lain dan tiga daripada mereka didapati sudah berkahwin.

"Suspek pertama bekerja sebagai penghantar makanan, suspek kedua bekerja pengasuh kanak-kanak, suspek ketiga penjaga parkir, suspek keempat kelasi kapal dan suspek kelima tidak bekerja.

Artikel Berkaitan:

"Rumah tempat kejadian disewa oleh salah seorang suspek sejak setahun lepas dengan bayaran sewa RM1,000 sebulan untuk dijadikan tempat melepak dan menjalankan aktiviti pengedaran ketum,"katanya.

Baharudin memberitahu, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula Selasa di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 jika disabitkan boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau keduanya sekali,"ujarnya.