Cubaan seludup 1.2 tan daun ketum ke negara jiran gagal

Lebih kurang 1.2 tan daun ketum yang cuba diseludup keluar dirampas di kedudukan 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Kedah pada Khamis.
Lebih kurang 1.2 tan daun ketum yang cuba diseludup keluar dirampas di kedudukan 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Kedah pada Khamis.
A
A
A

KUALA KEDAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang 1.2 tan daun ketum di kedudukan 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Kedah pada Khamis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, sebuah bot nelayan tempatan kelas A yang mencurigakan dikesan kira-kira jam 6 pagi berhampiran muara Kuala Kedah itu.

Beliau memberitahu, bot ronda Maritim Malaysia seterusnya diatur gerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan sejurus menerima maklumat risikan.

"Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan memecut laju ke arah daratan berhampiran dan bertindak melarikan diri dengan terjun ke paya bakau lalu meloloskan diri.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit telah menemukan 120 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan lebih kurang 1.2 tan bernilai sekitar RM216,000," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Noor Azreyanti memaklumkan daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand telah mencecah lebih RM180 sekilogram berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM30 sahaja.

"Susulan itu, semua hasil rampasan berserta bot nelayan tempatan kelas A dan enjin dianggarkan bernilai RM 276,000 dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut," katanya.

Tambah beliau, kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Ujarnya, Maritim Malaysia akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah Maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia.

Sebarang aduan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.