Lalitha akan dipanggil semula jika ada keperluan: Bukit Aman

Lalitha (dua dari kanan) bersama peguamnya, Manjeet Singh ketika sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada 3 Februari lalu.
Lalitha (dua dari kanan) bersama peguamnya, Manjeet Singh ketika sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pada 3 Februari lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas penyelidik di Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam akan dipanggil semula oleh Bukit Aman jika ada keperluan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman masih menjalankan siasatan kes itu.

"Kita masih menjalankan siasatan, Lalitha akan dipanggil semula jika diperlukan untuk membantu siasatan.

"Kertas siasatan akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara selepas siasatan dilengkapkan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada 3 Februari lalu, Lalitha bersama peguamnya, Manjeet Singh Dhillon hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Pada 12 Januari lalu, Azam melalui peguam mewakilinya memfailkan tuntutan saman fitnah RM10 juta terhadap Lalitha di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tuntutan saman fitnah itu berikutan penerbitan sebuah artikel di sebuah portal agensi berita, masing-masing pada 26 Oktober dan 15 Disember tahun lalu.

Azam sebelum ini memaklumkan pihaknya akan mengemukakan saman terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya dan SPRM, selain bagi memastikan dakwaan tidak berasas sedemikian tidak berulang.

Artikel Berkaitan:

Pada 5 Januari lalu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang, memaklumkan pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam, iaitu Nasir Baki.

Bagaimanapun, pada 19 Januari lalu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) menjelaskan, keputusan bahawa tiada pelanggaran syarat di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berhubung akaun dagangan Azam adalah berdasarkan bukti bebas yang dikumpulkan.

SC berkata, bukti berkenaan menunjukkan Azam ialah pemegang akaun yang dinamakan dan mempunyai kawalan ke atas akaun dagangan itu.

Dalam kes berasingan, Abd Jalil memaklumkan pihaknya masih dalam proses melengkapkan kertas siasatan terhadap aktivis Fahmi Reza berkaitan imej seakan jata Pahang dengan perkataan 'house of balak' yang dimuat naik di laman sosialnya pada 3 Januari lalu.

"Siasatan djalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana kecenderungan menghasut.

"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya.

Pada 25 Januari lalu, Fahmi telah dipanggil ke pejabat USJT JSJ Bukit Aman bagi membantu siasatan.