Leraikan kereta selepas curi beg tangan, tiga lelaki ditahan

KOTA TINGGI - Empat lelaki dipercayai meleraikan sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna biru yang digunakan untuk mencuri beg tangan di Medan Selera Sanggar di sini, pada Isnin.
Bagaimanapun, tindakan melupuskan kenderaan itu tidak berhasil apabila polis berjaya menahan tiga daripada mereka menerusi beberapa serbuan di sekitar Sungai Tiram dan Ulu Tiram, Johor, kira-kira jam 4.30 pagi, Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, tiga lelaki tempatan berusia antara 32 hingga 42 tahun itu ditahan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kota Tinggi.
“Siasatan mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai bersama seorang lagi rakan jenayah yang masih bebas telah meleraikan kenderaan jenis Proton Wira berwarna biru yang digunakan dalam kejadian itu di kawasan ladang kelapa sawit di Sungai Tiram bagi tujuan melupuskan kenderaan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan dan tindakan polis turut membawa kepada rampasan beberapa barang kes termasuk sebuah beg tangan berwarna hitam, sebuah rangka kereta yang telah dileraikan serta dua telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, polis sedang mengambil tindakan lanjut bagi mengesan dan merampas barang kes lain yang masih belum ditemukan.
Katanya, semakan rekod mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah dan narkotik lampau.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati seorang suspek positif methamphetamine manakala dua lagi negatif.
“Polis turut mendapati salah seorang suspek dipercayai terbabit dalam satu lagi kes curi di daerah Johor Bahru yang masih dalam siasatan,” katanya.
Tambahnya, usaha mengesan seorang lagi rakan jenayah yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada Isnin, tular satu rakaman video memaparkan seorang wanita mengejar seorang lelaki yang dipercayai melarikan beg tangannya di Medan Selera Sanggar, Kota Tinggi.
Lelaki terbabit kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta berwarna biru.
Susulan kejadian itu, polis mengesan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kes kecurian berkenaan selepas menerima laporan pada jam 3.58 petang.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, kejadian dipercayai berlaku di sebuah gerai makanan di medan selera berkenaan.
Beg tangan milik mangsa mengandungi beberapa barangan peribadi dengan jumlah kerugian dianggarkan RM3,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

