X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 28 Mei 2022

Saham milik adik Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki hadir sidang media khas di ibu pejabat SPRM hari ini. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berhubung dakwaan memiliki saham dengan jumlah yang melampau.

Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, hasil penjelasan dibuat, pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik Nasir Baki iaitu adik kepada Azam.

Justeru, beliau berkata, LPPR mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau 'conflict of interest' dalam perkara tersebut.

"LPPR telah mengadakan satu mesyuarat khas pada 24 November lalu bagi mendapatkan penjelasan Tan Sri Azam berhubung perkara tersebut. Semua wakil LPPR telah mengambil bahagian untuk mengetahui keadaan sebenar daripada beliau.

"Dalam pertemuan itu, beliau telah menjelaskan kedudukan sebenar kepada saya dan ahli-ahli LPPR yang lain bahawa akaun saham beliau ketika itu digunakan oleh adiknya, Nasir Baki untuk membeli saham-saham berkaitan pada tahun 2015, yang mana beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan 'pecuniary' atau 'benefisial' bagi pembelian mahupun pemilikan saham-saham berkenaan.

"Pada masa sama, pembelian saham-saham tersebut dibuat di pasaran saham terbuka (open market) dan tiada sebarang percanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham berkenaan pada tahun 2015," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, kesemua saham-saham tersebut telah dipindahkan semula kepada Nasir dalam tahun berkaitan.

"Setelah berbincang dengan panjang lebar, ahli-ahli LPPR berpendapat Tan Sri Azam tiada sebarang kepentingan ke atas saham-saham berkenaan," katanya ketika sidang akhbar khas bersama LPPR di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Rabu.

Sidang akhbar itu dibuat bagi menjawab dakwaan berhubung salah laku yang dikaitkan dengan pegawai-pegawai tertinggi di SPRM.

Sementara itu, ditanya mengenai masa yang lama diambil untuk membuat penjelasan, Abu Zahar berkata, LPPR bercadang untuk memaklumkan perkara tersebut kepada masyarakat dalam masa tertentu.

Bagaimanapun, katanya, isu berkenaan telah dibangkitkan terlebih dahulu oleh bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Profesor Dr Edmund Terence Gomez.

Jelas beliau, perkara itu amat mengejutkan memandangkan sebagai seorang yang terpelajar dan Ahli Jawatankuasa PPPR, sudah tentu Gomez mengetahui struktur dan tanggungjawab semua lima panel bebas memantau semua perjalanan pentadbiran SPRM.

"Mengenai isu peletakan jawatan Edmund, LPPR berpandangan ia adalah hak peribadinya untuk berhenti dan tiada siapa boleh menghalangnya.

"Dakwaan bahawa saya telah menerima surat daripada beliau (Gomez) juga tidak benar kerana saya tidak menerima apa-apa surat daripadanya mengenai isu saham Ketua Pesuruhjaya SPRM sehingga hari ini," ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!