Ketua Penerangan AMK Johor letak jawatan

Mohamad Taufiq
Mohamad Taufiq
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mohamad Taufiq Ismail mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor berkuat kuasa serta-merta pada Isnin.

Menerusi hantaran di Facebook miliknya, Mohamad Taufiq memaklumkan turut melepaskan jawatan sebagai Setiausaha PKR Cabang Johor Bahru.

"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan AMK Johor atas segala tunjuk ajar dan kepercayaan diberi sepanjang tempoh menjawat jawatan berkenaan.

"Saya berharap AMK Johor akan terus maju ke hadapan dalam memenangi isu rakyat dan menjayakan agenda reformasi parti," katanya.

Mohamad Taufiq turut memuat naik satu kenyataan ringkas yang menunjukkan kekecewaan dengan sebuah parti politik, namun tidak menamakan parti berkenaan.

"Parti ini parti derita, memang deritalah sampai bila-bila. Tiba di penghujung kerjaya politik saya. Terima kasih semua," tulisnya.

Sementara itu, Mohamad Taufiq ketika dihubungi, menafikan peletakan dua jawatannya dalam PKR, disebabkan tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Jelasnya, peletakan kedua-dua jawatan itu tidak ada kena mengena dengan isu pencalonan parti itu yang diumumkan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Tidak benar saya letak jawatan kerana kecewa tidak dicalonkan pada PRN Johor. Ia 100 peratus tidak benar. Sebenarnya ada isu yang perlu selesaikan dengan cabang sehingga saya mengambil keputusan meletakkan jawatan.

"Saya membuat keputusan letak jawatan selepas berfikir panjang dan keputusan ini adalah muktamad. Saya tidak akan tarik balik keputusan yang dibuat. Bagaimanapun, saya tidak keluar parti dan akan terus setia dengan PKR sebagai ahli biasa," katanya.

Mohamad Taufiq sedang menunggu surat rasmi PKR berhubung peletakan jawatannya itu sebelum membuat kenyatan lanjut.

"Tunggulah sehari dua lagi. Saya akan beri kenyataan penuh berhubung peletakan jawatan saya," katanya.