Penyeludup daun ketum guna bot mewah rempuh bot Maritim Malaysia

Dua penyeludup daun ketum yang menaiki bot penumpang mewah bertindak nekad merempuh bot Maritim Malaysia dalam cubaan meloloskan diri pada Ahad.
Dua penyeludup daun ketum yang menaiki bot penumpang mewah bertindak nekad merempuh bot Maritim Malaysia dalam cubaan meloloskan diri pada Ahad.
A
A
A

KUALA PERLIS - Dua penyeludup daun ketum warga tempatan yang menaiki bot penumpang mewah bertindak nekad merempuh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam cubaan meloloskan diri, di kedudukan 5.8 batu nautika barat pantai Kurung Tengar di sini pada Ahad.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 pagi itu, suspek mengemudi bot secara berbahaya dan bertindak merempuh bot penguat kuasa Maritim Malaysia.

"Maritim Malaysia berjaya menahan dua suspek lelaki berumur 37 dan 48 tahun, setelah bot yang mereka naiki mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan dan bocor akibat rempuhan itu.

"Hasil pemeriksaan lanjut, kami menemukan 300 bungkusan plastik berwarna hitam serta 13 bungkusan plastik berwarna putih yang disyaki daun ketum dengan berat 3.2 tan metrik dianggarkan bernilai RM576,000 dan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Menurutnya, turut dirampas tiga enjin sangkut dianggarkan bernilai RM380,000 dan bot fiber bernilai RM180,000.

Mohd Hashim berkata, ini merupakan kali pertama penyeludup menggunakan bot penumpang mewah berkuasa tinggi bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

"Daripada hasil siasatan, kami dapati bot tersebut akan berlabuh di negara jiran dan hanya bergerak ke Malaysia untuk menyeludup keluar daun ketum,” katanya.

Beliau berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan daun ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: