Guna sekolah untuk mengundi mungkin ganggu perjalanan SPM

Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Alif)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Alif)
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan premis sekolah menengah sebagai pusat pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berkemungkinan boleh berlaku gangguan lebih besar memandangkan hampir keseluruhan bilik di sekolah menengah digunakan bagi tujuan peperiksaan utama.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor berkata, pihaknya perlu menzahirkan kekhuatiran jika berlakunya gangguan langsung mahupun tidak langsung kepada perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memandangkan ia berlangsung pada masa yang sama.

“GPS menyokong penuh permintaan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar sekolah menengah di seluruh negeri Johor tidak digunakan sebagai pusat pengundian bagi PRN Johor.

“GPMS berpandangan kemungkinan berlakunya gangguan adalah sangat besar memandangkan hampir keseluruhan bilik di sekolah menengah digunakan bagi tujuan peperiksaan utama seperti perubahan susun atur meja dan kecelaruan sistem indeks sekolah.

“Selain itu, ia juga mengganggu pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan juga persediaan kepada keadaan luar jangka ketika bilangan kes Covid-19 di negara ini kembali juga meningkat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak membenarkan sekolah menengah digunakan sebagai tempat membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menterinya, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya tidak mahu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 29 Mac ini terganggu.

Dalam pada itu, Mohd Alif berkata, kebanyakan pelajar SPM 2021 merupakan pelajar yang mendapat impak pandemik Covid-19 paling besar setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia disebabkan mereka menjalani kedua-dua tahun persekolahan menengah atas, sebahagian besarnya melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

“Justeru, GPMS menyeru agar bebanan mereka tidak harus ditambah lagi dengan perkara yang boleh dielakkan,” ujarnya,

Tambah Mohd Alif, GPMS percaya pihak SPR boleh mengenal pasti premis-premis lain yang sesuai digunakan sebagai tempat membuang undi.

“Antaranya, seperti sekolah rendah, dewan serbaguna, balai raya dan mana-mana premis alternatif yang sesuai di negeri Johor bagi mengelakkan penggunaan sekolah menengah.

“Sebagai persatuan yang mewakili kepentingan golongan pelajar di negara ini, GPMS berharap agar hal ini dapat diselesaikan dengan baik dan pada kadar segera agar akhirnya tiada sebarang kesan langsung mahupun tidak langsung dirasai golongan pelajar yang akan menduduki SPM di negeri Johor,” jelasnya.