PRN Johor: KPM tidak benarkan sekolah menengah jadi pusat mengundi

Dr Mohd Radzi Md Jidin
Dr Mohd Radzi Md Jidin
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak membenarkan sekolah menengah digunakan sebagai tempat membuang undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menterinya, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya tidak mahu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 29 Mac ini terganggu.

"Saya baru dimaklumkan semalam menerusi sesi libat urus terdapat guru-guru yang membuat rungutan menyatakan sekolah mereka akan digunakan sebagai pusat pembuangan undi untuk PRN Johor.

"Setakat ini kita belum menerima permohonan secara rasmi daripada SPR untuk menggunakan premis sekolah dan kita telah buat ketetapan sebolehnya sekolah menengah tidak digunakan. Kita akan tulis surat kepada SPR," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Bersama Warga Pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Pada Rabu SPR mengumumkan hari penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 26 Februari ini manakala undi awal pada 8 Mac depan manakala pembuangan undi pula 12 Mac.

Mohd Radzi berkata, sekiranya sekolah menengah digunakan sebagai pusat mengundi, banyak proses di sekolah terbabit yang akan terganggu dan perlu disusun semula.

Beliau bagaimanapun tiada masalah sekiranya SPR mahu menggunakan sekolah rendah sebagai pusat membuang undi kerana tidak melibatkan sebarang peperiksaan.

Artikel Berkaitan:

"Sekolah rendah tidak mengapa berapa lama pun mahu digunakan, ini melibatkan masa depan anak-anak mereka, jadi kita tidak mahu ada gangguan (peperiksaan SPM), sebelum ini guru-guru lalui tempoh sukar.

"Kami mahu peperiksaan SPM berjalan lancar tanpa sebarang gangguan," katanya.