Mazlan kekal dengan pendirian, nafi ditawarkan jawatan

Mazlan (tengah) ketika menyampaikan komputer riba kepada salah seorang wakil sekolah di kawasan Johor Bahru pada majlis berkenaan
Mazlan (tengah) ketika menyampaikan komputer riba kepada salah seorang wakil sekolah di kawasan Johor Bahru pada majlis berkenaan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang menetapkan pendiriannya untuk kekal tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Penyandang kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu juga menafikan sekeras-kerasnya telah ditawarkan jawatan mahu pun peluang bertanding selepas membuat keputusan meninggalkan parti pada Januari lalu.

"Saya menyangkal dakwaan (ditawarkan jawatan dan kerusi DUN) ini, memang tiada. Saya mahu berehat. Kembali atau tidak (berpolitik) itu kita tunggu dan lihat sahaja.

"Kita tiada tawar-menawar, dulu saya duduk dalam kerajaan Johor ada tawar-menawar ada bagi duit, tiada...sebab bukan kerana duit, kita ada nilai diri dan maruah bukan mengejarkan jawatan sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas hadir merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Komputer Riba kepada Sekolah-Sekolah di kawasan Johor Bahru dan Pasir Gudang di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa tiada sebab lain pimpinan dan ahli mengambil keputusan keluar daripada parti menjelang PRN Johor melainkan kerana tergoda dengan tawaran tertentu.

Bagaimanapun, Ahmad Faizal berkata, tindakan keluar daripada parti oleh beberapa pimpinan berkenaan tidak menjejaskan atau memberi sebarang kesan kepada parti bagi menghadapi PRN Johor tidak lama lagi.

Dalam pada itu, ditanya mengenai keyakinan Perikatan Nasional (PN) dilaungkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin boleh mendapat kemenangan besar pada PRN Johor, Mazlan berkata, perkara itu hanya boleh ditentukan oleh rakyat Johor.

Artikel Berkaitan:

"Saya cuma nak tunggu keputusan sahaja, sebab rakyat di Johor ini bukannya bodoh mereka tahu siapa pengkhianat. Dia (Hamzah) faham sendiri lah maksudnya, sebab maksud itu subjektif biar dia tafsir ikut tafsirannya sendiri," katanya.