Sila log masuk terlebih dahulu.

Pemimpin Bersatu tidak keluar parti kecuali 'tergoda' tawaran

Ahmad Faizal (tengah) menyaksikan penyerahan replika kunci sebagai simbolik perasmian Majlis Penyerahan Projek Kompleks Rakan Muda Sukan air dan Udara (Kamsau) di Kota Tinggi pada Selasa.
Ahmad Faizal (tengah) menyaksikan penyerahan replika kunci sebagai simbolik perasmian Majlis Penyerahan Projek Kompleks Rakan Muda Sukan air dan Udara (Kamsau) di Kota Tinggi pada Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - Tiada sebab untuk pemimpin atau ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar parti terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melainkan jika ada yang 'tergoda' dengan tawaran pihak tertentu.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin mereka akan terus bersama parti dan berpegang kepada prinsip, perjuangan yang menolak kleptokrasi, rasuah serta salah guna kuasa.

"Kita yakin mereka tetap pendirian bersama perjuangan Bersatu yang tolak kemungkaran.

"Tetapi jika ada yang tergoda dan (ada ditawarkan) jajaran baharu, wallahuallam, terpulang, tapi saya yakin sebahagian besar rakyat, kita semuanya tolak kemungkaran, kleptokrasi dan salah guna kuasa.

"Itu yang kami sedang laksanakan dan terus perjuangkan dengan cara kami, semoga ALLAH beri petunjuk dan hidayah," katanya.

Beliau mengulas khabar angin empat Ketua Bahagian Bersatu di negeri ini akan mengumumkan keluar parti dalam masa terdekat.

Terdahulu Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan merasmikan Majlis Penyerahan Projek Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara (Kamsau) di sini pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ti Lian Ker yang juga Naib Presiden MCA.

Mengenai dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan beberapa cawangan Bersatu yang keluar parti baru-baru ini, Ahmad Faizal menjelaskan, tindakan tersebut tidak menjejaskan atau memberi kesan terhadap Bersatu pada PRN Johor.

"Dua ADUN yang keluar Bersatu semasa berada dalam parti tidak banyak menyumbang dan ada yang tidak berjaya membuka cawangan di kawasan masing-masing.

"Kalau ada yang buka cawangan pun tak ramai, jadi tak beri kesan," katanya.

Bekas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan bekas ADUN Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad mengumumkan keluar Bersatu serta merta pada 27 dan 29 Januari lalu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu.

Artikel Berkaitan: