Mazlan Bujang dakwa pernah diboikot Muhyiddin

Mazlan Bujang - Foto Awani
Mazlan Bujang - Foto Awani
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang mendakwa dirinya pernah diboikot Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Ketua Bahagian Bersatu Tebrau mendakwa tindakan itu dilakukan Muhyiddin sewaktu beliau menyandang jawatan Pengerusi Bersatu Johor sejak Mei 2019 sebelum jawatan itu diambil alih Muhyidin pada September 2020.

"Lama saya diamkan diri, saya tidak mahu berikan komen kerana tidak suka burukkan orang tetapi bila ada yang mengungkit, maka terpaksa saya bercakap.

"Selama saya dilantik sebagai Pengerusi Bersatu Johor yang mana surat lantikan itu daripada Muhyiddin, namun saya telah diboikot, Bahagian Bersatu Pagoh tidak pernah hantar wakil dalam mesyuarat pimpinan negeri.

"Bila jawatan saya diambil oleh Muhyiddin, perlu ke saya hadir mesyuarat dan menghormati dia sedangkan dia tak pernah hormati saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan mengenai dakwaan Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri berhubung Mazlan tidak pernah hadir mesyuarat ketua-ketua bahagian Bersatu Johor.

Sebelum itu Mazlan membuat pengumuman keluar Bersatu dan menyatakan sokongan kepada Barisan Nasional ( BN) di Kompleks Yayasan Warisan Johor di sini pada Khamis.

Turut sama meletak jawatan ialah setiausaha, beberapa pegawai dan majoriti ahli jawatankuasa dan juga ketua-ketua cawangan Bersatu Tebrau.

Artikel Berkaitan:

Mazlan yang juga bekas Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor mendedahkan telah menerima beberapa tawaran daripada pelbagai politik, namun masih belum membuat sebarang keputusan.

"Tiada tawaran itu bohong tetapi saya tidak mahu keruhkan keadaan. Saya hormati rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) sebagai kawan baik, cuma berbeza dari segi pandangan politik.

"Apabila saya tidak bersama PH, saya masih baik dengan DAP, Amanah dan PKR, ramai yang datang pejabat saya.

"Sebagai kawan saya terima, sebagai pemimpin negeri saya terima, itu tanggungjawab saya, yang letakkan kepentingan rakyat lebih penting daripada kepentingan parti," katanya.

Sebelum itu pada 20 Januari lalu Mazlan dilaporkan sedia menimbangkan untuk bersara daripada dunia politik sekiranya PRN diadakan.

Beliau sebelum ini menafikan bakal menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN Johor diadakan.