Pas nafi tidak puas hati pembahagian kerusi PRN Johor

Muhammad Sanusi (tengah) bergambar bersama pimpinan PN Kawasan Pulai pada Majlis Himpunan Petugas Pilihan Raya PN Kawasan Pulai di sini pada Sabtu
Muhammad Sanusi (tengah) bergambar bersama pimpinan PN Kawasan Pulai pada Majlis Himpunan Petugas Pilihan Raya PN Kawasan Pulai di sini pada Sabtu
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pas menafikan khabar angin bahawa parti itu tidak berpuas hati dengan rundingan pembahagian kerusi bersama Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu adalah tidak benar kerana sehingga kini pembahagian kerusi masih lagi belum dimuktamadkan.

“Tidak (wujud isu ketidakpuasan hati), sekarang ini rundingan kerusi masih belum selesai...begitu juga calon, dapat kerusi baharu kita sedia calon.

“Sekarang ini parti-parti yang berkolaborasi dalam PN sedang berunding, agihan kerusi berdasarkan kriteria contohnya kekuatan jentera sesuatu parti di tempat itu dan penerimaan pengundi pada calon yang akan dikemukakan.

“Perkara-perkara ini sedang dipertimbangkan dan jumlah sebenar kerusi bagi parti-parti belum ditentukan,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Sarapan Silaturahim Jentera Pilihan Raya PN Kawasan Pulai di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, khabar angin mulai tersebar luas apabila didakwa wujud pergolakan dalaman PN selepas Pas tidak berpuas hati dengan jumlah dan status kerusi ditawarkan untuk bertanding pada PRN Johor.

Dipercayai perkara itu adalah berikutan Pas ditawarkan kerusi yang majoritinya ditandingi DAP dan mempunyai peratusan pengundi bukan Melayu rendah.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, kerjasama erat dalam PN juga diyakini dapat membawa kejayaan pada PRN Johor selain mengharapkan rakyat Johor dapat membuat pilihan terbaik.

Artikel Berkaitan:

“Orang tengok rekod pencapaian Barisan Nasional (BN) dan juga telah melihat Pakatan Harapan (PH) jadi saya harap orang Johor dapat buat pilihan baharu melalui PN.

“Saya rasa dalam PN, kestabilan dan keharmonian dapat dipupuk dengan lebih baik seperti yang berlaku di negeri lain. Seperti yang saya sebut, di mana negeri BN diberi kuasa sedikit, berlaku ketidakstabilan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PRN Johor juga akan mempertaruhkan calon Pas daripada kalangan lebih muda dan mempunyai latar belakang profesional.