PRN Negeri Sembilan: Pembahagian kerusi PH di peringkat akhir

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kini di peringkat akhir.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia membabitkan 36 kerusi DUN di negeri ini yang akan diserahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk dimuktamadkan.

"Hampir di peringkat akhir (pembahagian kerusi) untuk diserahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan bagi menentukan kerusi-kerusi yang dibincangkan itu.

"Perbincangan itu bukan hanya di negeri ini tetapi secara keseluruhan," katanya kepada pemberita selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai sama ada beliau bertanding pada PRN nanti, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, ia masih belum diputuskan setakat ini.

"Saya tak tahu lagi, sama ada saya bertanding atau tidak, insya-Allah kalau ada rezeki adalah, tetapi orang cakap rezeki tidak salah alamat, " katanya secara berseloroh.

Aminuddin sebelum ini memaklumkan DUN Negeri Sembilan dijangka dibubar antara Mei dan Jun tahun ini bagi memberikan laluan kepada PRN di negeri itu.

Katanya, tempoh berkenaan adalah selari dengan pendirian kerajaan negeri sebelum ini yang mahu memberikan khidmat genap selama lima tahun seperti mandat yang telah diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.